Setahun tinggalkan Umno, Shahidan Kassim, Annuar Musa dilantik AJK PAS Pusat


  • Politik
  • Selasa, 31 Okt 2023

Shahidan (kiri) dan Annuar (kanan) antara yang dilantik menjadi AJK Kerja PAS Pusat.

BEKAS pemimpin Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Tan Sri Annuar Musa antara yang dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja PAS Pusat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan pada Selasa berkata, pelantikan jawatan itu dibuat hasil Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung pada Isnin berdasarkan peruntukan Fasal 25 dan Fasal 26 Perlembagaan parti.

Selain Shahidan dan Annuar, AJK lain yang dilantik termasuk bekas Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah; Adun Melor, Wan Rohimi Wan Daud dan bekas AJK PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Selain itu, nama lain yang dipilih ialah Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh; Adun Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan bekas calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Dr Mohd Mazri Yahya.

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau dan Annuar selaku bekas Ahli Parlimen Ketereh meninggalkan Umno pada 2022 selepas keahlian mereka dibatalkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.

Bagaimanapun, Shahidan yang juga bekas Ahli MKT Umno bertanding atas tiket PN semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan berjaya mempertahankan Parlimen Arau.

Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Umno disahkan sebagai ahli PAS pada Jun lalu.

Sementara itu, PAS turut mengumumkan 14 nama yang akan membarisi jawatan Pesuruhjaya Negeri/ Wilayah Persekutuan, antaranya Mohd Shukri Ramli (Perlis), Datuk Ahmad Saad@Yahaya (Kedah), Datuk Ahmad Yakob (Kelantan), Datuk Husain Awang (Terengganu) dan Muhammad Fauzi Yusoff (Pulau Pinang).

"Ia diikuti Razman Zakaria (Perak), Rosli Abdul Jabar (Pahang), Datuk Dr Ab Halim Tamuri (Selangor), Azhar Yahya (Wilayah Persekutuan), Rafiei Mustapha (Negeri Sembilan), Zulkifli Ismail (Melaka), Abdullah Husin (Johor), Dr Aliakbar Gulasan (Sabah) dan Jofri Jaraiee (Sarawak)," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram