Malaysia terima tekanan daripada AS akibat pendirian terhadap isu Palestin


  • Primer
  • Selasa, 31 Okt 2023

Anwar ketika berucap di Sidang Dewan Rakyat dekat Bangunan Parlimen pada Selasa. — Bernama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Malaysia menerima tekanan daripada Amerika Syarikat (AS) susulan pendirian yang dibuat dalam isu membabitkan konflik Palestin-Israel.

“Utusan Malaysia ke Amerika Syarikat dipanggil oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat yang mempersoalkan pendirian kita dalam konflik tersebut, terutamanya keganasan yang dilakukan oleh Israel ke atas Gaza.

"Duta besar kita dengan tegas menyatakan pendirian negara," katanya semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata, perkembangan yang berlaku itu terjadi selepas Malaysia enggan mengutuk tindakan Hamas dan menamakan kumpulan itu sebagai pengganas.

“Saya dimaklumkan Kementerian Luar bahawa Malaysia menerima demarche (notis tata tindak) daripada Kedutaan AS sebanyak dua kali, pada 13 dan 30 Oktober, apabila Malaysia diminta menggunakan saluran diplomatik untuk menggesa sesebuah negara supaya tidak mengambil kesempatan daripada konflik dengan menggunakan proksi bagi terlibat dalam konflik di Gaza,” ujarnya.

Walaupun tiada mana-mana pihak dinyatakan dalam notis berkenaan, negara yang dimaksudkan AS itu dipercayai merujuk kepada Iran.

Susulan itu, Anwar mengulangi kebebasan pendirian negara dengan mengatakan Malaysia akan kekal teguh dalam pertimbangan kemanusiaannya dan mengutuk pendudukan Israel di Palestin yang menyalahi undang-undang.

“Politik dan kekacauan itu bukan sahaja bermula bulan lalu tetapi ia telah berlangsung selama beberapa dekad sejak 1948.

“Oleh itu, adalah tidak munasabah untuk mengetepikan keganasan, pencerobohan dan penjajahan Israel ke atas wilayah Arab Palestin,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Anwar menyifatkan berlakunya berat sebelah dalam pertimbangan daripada negara seperti AS dalam isu konflik melibatkan wilayah bergolak tersebut.

Ini kerana menurutnya, nasib malang yang menimpa penduduk Palestin dilihat tidak mendapat perhatian yang sama seperti krisis pencerobohan dilakukan Rusia terhadap Ukraine.

Dalam ucapannya di Perhimpunan Malaysia untuk Palestin pada minggu lalu, Anwar berkata, Malaysia menerima kritikan daripada negara pro-Israel, khususnya AS, kerana bersimpati dengan Gaza dan rakyat Palestin.

Pada 7 Oktober lalu, Hamas melancarkan serangan mengejut dari Gaza, yang menyaksikan ribuan roket dilapor dilepaskan ke arah Israel dengan terdapat anggotanya yang masuk menyusup melepasi pagar keselamatan.

Sebagai tindak balas, Israel segera melancarkan serangan udara dan operasi ketenteraan ke atas Semenanjung Gaza.

Sekurang-kurangnya 8,306 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza manakala jumlah kematian di Israel melebihi 1,400. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram