TULAR rakaman seorang lelaki mengganggu orang awam di kawasan menunggu stesen transit aliran ringan LRT Maluri, Cheras, Kuala Lumpur.
Kejadian itu dipercayai berlaku pada 28 Julai (Jumaat), pukul 8 pagi di stesen LRT berkenaan ketika pengguna kemudahan pengangkutan awam itu sedang menunggu tren ke Ampang.
Menerusi rakaman tular berkenaan, seorang lelaki berbaju hitam kelihatan dalam keadaan meniarap di atas lantai dengan seorang wanita cuba bergelut melepaskan diri daripada cengkamannya.
Kedengaran jeritan gadis berkenaan meraung meminta tolong sebelum beberapa orang lelaki yang berada di tempat kejadian membantu melepaskan mangsa.
Sekurang-kurangnya lima orang lelaki menarik si pelaku daripada terus mengasari wanita tersebut dengan sebahagian daripada mereka bertindak menumbuk dan menarik kakinya.
Selepas beberapa minit bergelut, gadis itu berjaya meloloskan diri dan berlari ke tempat lain.
Lelaki berbaju hitam itu pula beredar dengan mengambil sepasang kasut dan sebuah lagi objek di atas lantai tanpa menghiraukan orang sekeliling.
Tidak tamat di situ, rakaman tersebut kemudiannya menunjukkan lelaki terbabit berada di laluan landasan tren sambil mengetuk badan kereta api dengan kasut berulang kali ketika kenderaan itu sedang bergerak laju.
Perbuatan itu jelas membahayakan dirinya kerana dia bukan sahaja berdiri di tengah-tengah landasan malah turut berani bertindak menyeberangi landasan tersebut.
Sementara itu, Rapid KL dalam satu kenyataan memaklumkan sedang berusaha mengesan suspek dengan bantuan pihak polis.
Seorang lelaki disyaki mengalami masalah gangguan mental bertindak agresif menceroboh trek LRT dari platform 1 ke platform 2 dan cuba mencabul salah seorang penumpang wanita di stesen berkenaan.
"Ketika kejadian, anggota polis bantuan yang sedang bertugas di platform bertentangan bergegas turun ke bawah untuk ke platform tempat kejadian bagi memberikan bantuan kepada mangsa yang sedang bergelut dengan suspek.
"Orang awam yang melihat kejadian berjaya membantu meleraikan mangsa daripada suspek, tetapi tidak berjaya diberkas kerana bertindak agresif," katanya.
Katanya, suspek sekali lagi bertindak menceroboh landasan dan mengetuk dinding tren yang kebetulan sedang berhenti di stesen.
"Suspek meloloskan diri dari stesen pada pukul 8.05 pagi. Mangsa dan saksi dibawa anggota polis ke balai polis bagi tindakan selanjutnya," katanya.
Tambah Rapid KL lagi, pihaknya kesal dengan kejadian itu dan bertindak menambah anggota polis bantuan di stesen-stesen LRT untuk meningkatkan kawalan keselamatan bagi mengelakkan perkara sama berulang.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin dalam kenyataannya pada Sabtu berkata, pihaknya giat memburu pelaku yang dipercayai mengalami ganggunan mental.
Zam Halim berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu pada pukul 8.40 pagi daripada seorang wanita tempatan.
“Pengadu yang berusia 27 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Cheras pada hari kejadian.
“Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan. Usaha mengesan suspek masih giat dijalankan,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram