Dua pelajar USIM terkorban dalam serangan rejim Israel di Gaza


  • Massa
  • Selasa, 10 Okt 2023

Turut terkorban adalah empat orang anak mangsa manakala seorang lagi dilaporkan terselamat. — X/USIM

DUA pelajar siswazah dari Palestin yang menuntut di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjadi antara mangsa yang terkorban dalam serangan bom oleh rejim zionis, di Gaza, Palestin pada Ahad.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh universiti tersebut menerusi ciapan di akaun rasminya di X pada Isnin.

Dua mangsa terkorban ialah calon Doktor Falsafah Pengurusan Sumber Manusia USIM, Mohammed J H Alzaanin dan isterinya yang merupakan pelajar Program Sarjana Sains (Mod Penyelidikan), Fakulti Sains dan Teknologi USIM.

"Perkara ini disahkan Presiden Kesatuan Umum Pelajar Palestin di Malaysia, Ammar H M Mahariq.

"Turut terkorban adalah empat orang anak mangsa. Hanya seorang anak mangsa dilaporkan terselamat," menurut kenyataan tersebut.

Dalam ciapan sama, Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia, Badereddin Seyam memaklumkan turut terkorban dalam serangan itu ialah 20 ahli keluarga mangsa.

Mohammed J H Alzaanin baharu sahaja selesai menjalani sesi viva-voce di USIM pada 5 Julai lalu manakala isterinya yang juga terkorban dalam serangan itu dijadualkan menduduki ujian viva-voce pada 23 Oktober ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram