[VIDEO] Cubaan lari macam lipas kudung gagal, pencuri motosikal dicekup orang awam di Klang


  • 112
  • Jumaat, 29 Sep 2023

Tangkap layar video orang awam membantu pihak polis menangkap suspek yang cuba melarikan sebuah motosikal di sebuah restoran berhampiran pekan Bandar Baru Klang baru-baru ini.

TINDAKAN orang awam membantu pihak polis menangkap suspek yang cuba melarikan sebuah motosikal di sebuah restoran berhampiran pekan Bandar Baru Klang, Selangor meraih pujian orang ramai baru-baru ini.

Difahamkan kejadian itu berlaku pada Rabu dan video tersebut dimuat naik semula di laman X (Twitter) pada Jumaat.

Dalam video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 36 saat itu memaparkan suspek yang cuba melarikan diri dikejar oleh orang awam di kawasan tersebut.

Namun begitu, dia berjaya ditahan oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao mengesahkan kejadian terbabit.

Katanya, penangkapan suspek kira-kira pukul 2.50 petang Rabu yang sedang menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC dibuat semasa anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara menjalankan tugas rondaan.

Menurutnya, sewaktu ditahan, pembonceng motosikal itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan dengan bantuan orang ramai di sebuah restoran berhampiran pekan Bandar Baru Klang.

"Hasil pemeriksaan telah menjumpai sebatang 'allen key' yang telah diubah suai dipercayai untuk mencuri motosikal.

"Kedua-dua suspek yang ditahan berusia 30-an dengan semakan mendapati mempunyai dua rekod jenayah lampau," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, penahanan suspek berikutan satu laporan polis yang dibuat seorang lelaki yang kehilangan motosikal jenis Yamaha 125ZR di kawasan parkir sebuah kompleks beli-belah di Jalan Batu Tiga Lama, Klang.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

"Siasatan masih dijalankan untuk mengesan motosikal yang hilang," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram