Tiga bank yakinkan pelanggan tiada caj dikenakan ke atas peniaga DuitNow QR pada masa ini


  • Massa
  • Jumaat, 29 Sep 2023

Maybank pada Jumaat memaklumkan bahawa bank itu tidak mengenakan sebarang yuran berkaitan dengan Duitnow QR dan ini akan diteruskan sehingga diberitahu kelak.

MALAYAN Banking Bhd (Maybank) pada Jumaat memaklumkan bahawa bank itu tidak melaksanakan sebarang bayaran berkaitan dengan DuitNow QR dan ini akan diteruskan sehingga diberitahu kelak.

"Anda perlu yakin bahawa semua peniaga boleh terus menerima pembayaran DuitNow QR tanpa caj, seperti amalan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebarang perubahan akan dimaklumkan kepada peniaga dengan lebih awal, kata bank tersebut.

Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), yang mengendalikan kod DuitNow QR, baru-baru ini menjelaskan bahawa penepian bagi caj kadar diskaun pedagang (MDR) selama empat tahun ke atas peniaga akan tamat tempoh pada 1 November 2023.

Buat masa ini, pembayaran kad debit dan kredit adalah tertakluk kepada MDR.

Sementara itu, Bank Islam Malaysia Bhd turut meyakinkan peniaga bahawa mereka boleh terus menerima pembayaran melalui DuitNow QR secara percuma sehingga diberitahu kelak.

"Bank Islam komited untuk memastikan komunikasi yang telus mengenai sebarang perubahan dalam struktur yuran bank kepada semua peniaga kami," katanya dalam satu kenyataan.

Bank itu juga berkata peniaga yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi pusat hubungan Bank Islam dengan menghantar e-mel di [email protected].

Dalam kenyataan yang berasingan, Ambank Group turut mengumumkan Ambank dan AmBank Islamic tidak akan mengenakan sebarang bayaran ke atas peniaga mereka yang menggunakan DuitNow QR.

"Semua peniaga akan terus menerima pembayaran DuitNow QR tanpa sebarang caj sehingga diberitahu kelak," katanya, sambil menambah sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada meja bantuan peniaga di talian 03-21677800. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram