ANGGOTA Jemaah Menteri yang merancang bercuti di luar negara terutama menjelang musim tengkujuh dijangka bermula bulan depan diarah membatalkan hasrat itu.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dengan menyifatkan keputusan tersebut untuk membolehkan barisan menteri bersama rakyat jika banjir melanda.
Beliau berkata, ia juga antara lain sebahagian daripada persediaan dilaksanakan kerajaan menjelang musim tengkujuh yang dijangka bermula bulan depan.
"Semua menteri khususnya mereka yang ada kaitan dengan isu bencana banjir tidak dibenarkan bercuti di luar negara terutama ketika musim tengkujuh nanti.
"Ia bagi memastikan semua perkara yang berkaitan banjir dapat ditangani dengan baik jika bencana itu melanda negara," katanya selepas menghadiri Program Hari Jantung Sedunia 2023 di Pustaka Negeri Sarawak, di Petra Jaya, Sarawak pada Ahad.
Sementara itu, Nancy berkata, persediaan kini harus diperkemaskan berikutan beberapa lokasi di Sabah, Sarawak dan Perak sudah dilanda banjir.
"Sehingga hari ini, seramai 228 penduduk daripada 72 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah, 33 mangsa daripada tujuh keluarga di dua PPS di Limbang, Sarawak manakala di Perak 37 mangsa daripada sembilan keluarga.
Dalam pada itu, ketika menyentuh kesan kenaikan harga barang bekalan makanan disediakan kepada mangsa banjir, Nancy memaklumkan, setakat ini jenis barang makanan serta kuantiti dikekalkan seperti yang sudah ditetapkan sebelum ini.
"Kita tidak akan mengurangkan kuantiti barang makanan yang akan diagihkan seperti beras serta keperluan lain.
"Pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menentukan perkara itu," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram