SEORANG lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian mencuri lembu maut ditembak polis di Jalan Tok Bok, Machang, Kelantan pada Isnin.
Suspek berusia 33 tahun ditembak di Kampung Joh, Labok, Tanah Merah, Kelantan manakala rakannya berusia 43 tahun ditahan polis.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, dalam kejadian pukul 4.30 pagi, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Machang menerima maklumat awam terdapat kereta Toyota Vios dalam keadaan mencurigakan di Kampung Joh.
Katanya, bertindak atas maklumat diterima, anggota polis bergerak ke lokasi dan terserempak dengan kereta dinaiki kedua-dua suspek.
"Menyedari kehadiran polis, kereta berkenaan memecut melarikan diri dan dikejar kereta peronda ke arah Kota Bharu sambil anggota polis memberikan arahan dengan pembesar suara supaya suspek berhenti.
"Ketika itu, berlaku beberapa perlanggaran antara kereta suspek dan kereta peronda polis sebelum kenderaan suspek terbabas," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Ali berkata, ketika anggota polis turun dari kenderaan untuk melakukan pemeriksaan, suspek yang juga pemandu kereta keluar menyerang dengan memegang senjata tajam sehingga memaksa anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kaki suspek untuk mempertahankan diri.
"Namun suspek yang sudah terkena tembakan bertindak meluru masuk ke bahagian pemandu kereta peronda polis dan melarikan kenderaan itu ke arah Kota Bharu manakala rakan suspek berjaya ditahan di tempat kejadian.
"Bagaimanapun kenderaan peronda polis yang dilarikan itu dijumpai berhenti di tepi jalan kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian di Pulai Chondong.
"Selepas diperiksa, suspek didapati sudah meninggal dunia di kerusi pemandu dan mayat dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat," katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menjumpai peralatan mencuri lembu seperti beberapa utas tali, picagari mengandungi cecair dipercayai ubat pelali, sebilah parang, pisau, pengasah dan dokumen pengenalan diri milik lelaki terbabit.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 307, 379, 379A, 186 Kanun Keseksaan dan 42(1) Akta Pengangkutan Jalan.
"Siasatan mendapati suspek yang maut mempunyai beberapa rekod jenayah lampau," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram