Kakak, adik bersama pasangan antara 155 'couple' pilih Hari Malaysia tamatkan zaman bujang


  • Massa
  • Sabtu, 16 Sep 2023

Seramai 155 pasangan memilih untuk meraikan hari bahagia masing-masing pada Hari Malaysia.

BERKONGSI tarikh nikah bersama kakak kandung pada Hari Malaysia pada Sabtu, menjadi kenangan paling manis buat pengantin baharu Nurulainun Osman, yang bernikah dengan pasangannya Suhaimi Badrom di Pusat Konvensyen Danga Bay, Johor Bahru.

Mereka antara 155 pasangan dari seluruh negeri Johor, yang terpilih untuk diraikan dalam majlis Walimatulurus Perdana 2023 Peringkat Negeri Johor, anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pada Sabtu.

Nurulainun, 28, yang bekerja di kilang berkata, beliau tidak menyangka akan terpilih, kerana yakin ramai yang membuat permohonan sepertinya.

"Saya dapat tahu tentang program ini daripada Tik Tok. Pada awalnya, saya ingatkan tak dapat sebab rasa macam sudah penuh, tapi Alhamdulillah dapat dan kakak saya juga dapat.

"Syukur, gembira dan rasa bertuah kerana dapat meraikan hari bahagia bukan sahaja bersama kakak, malah diraikan satu Malaysia,” katanya.

WhatsApp Image 2023-09-16 at 3.56.11 PM

Pasangan kakak dan adik bersama suami masing-masing yang bernikah pada Hari Malaysia.

Senada dengan Nurulainun, kakaknya Nurulummi Osman, 37, berkata, program seumpama itu amat membantu pasangan muda yang baru berkerjaya dan mencari rezeki, untuk berumah tangga.

"Dengan adanya program atau majlis seumpama ini, kosnya agak kuranglah dan nilainya tidak berapa tinggi, memang mudahlah semua urusan. Alhamdulillah, sangat membantu kami, daripada segi penginapan, majlis makan semua ditanggung sepenuhnya.

"Lebih indah tarikh ini dikongsi bersama dengan adik, bolehlah sambut ulang tahun bersama dengannya nanti, lebih meriah ramai-ramai bersama keluarga besar dan paling istimewa ini juga tarikh Hari Malaysia, jadi umpama dirai satu Malaysia,” katanya yang akan mengadakan doa kesyukuran di rumah keluarganya di Kampung Pasir, Kuala Lumpur, pada Ahad.

Sementara itu, Pengerusi JAINJ, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, program pernikahan beramai-ramai itu, merupakan acara tahunan anjuran kerajaan negeri menerusi JAINJ bagi meraikan pasangan pengantin baharu di Johor.

Beliau berkata sebanyak RM500,000 diperuntukkan pada tahun 2023, sekali gus membantu mengurangkan kos majlis pernikahan pasangan pengantin yang berkelayakan.

Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Jamaludin A Hamid dan Timbalan Mufti Negeri Johor, Datuk Ahmad Faisal Mohamed.

Kesemua pasangan pengantin yang diraikan pada Sabtu, berusia 17 hingga 42 tahun, dinikahkan kira-kira 50 jurunikah diketuai oleh Kadi Besar Negeri Johor, Halid Sono bermula 10.40 pagi. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram