Sasar cari isteri tempatan, sindiket seludup warga Pakistan tumpas di Kelantan


  • 112
  • Khamis, 14 Sep 2023

Antara warga Pakistan yang berjaya ditahan Imigresen pada Isnin. — Jabatan Imigresen

JABATAN Imigresen Malaysia menumpaskan sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin dari Pakistan yang dibawa masuk ke negara ini melalui negara jiran susulan penahanan lapan lelaki warga Pakistan dalam Ops Gelombang IV di Kelantan, Isnin lepas.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh dalam kenyataan pada Khamis berkata, dalang utama dan transporter sindiket berkenaan adalah antara individu yang ditahan dalam operasi khas oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Jabatan Imigresen, Putrajaya dan Jabatan Imigresen Kelantan itu.

Beliau berkata, semakan mendapati dalang utama yang berusia 50-an itu merupakan pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang Suami Kepada Warganegara manakala transporter yang berusia 30-an pula memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah laku.

Menurutnya, modus operasi sindiket berkenaan adalah dengan menyeludup pendatang tanpa izin dari Pakistan dengan menaiki pesawat dan mendarat di Thailand sebelum dibawa melalui pengkalan haram melintasi sempadan Malaysia-Thailand.

"Dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap pendatang yang dibawa masuk ke negara ini dan akan dibawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak Mei tahun lepas dan telah menguruskan penyeludupan individu dari Pakistan yang cuba merebut peluang pekerjaan secara haram serta menyasarkan wanita warga tempatan untuk dijadikan isteri di negara ini.

Semasa operasi, katanya dua pasukan serbuan telah digerakkan ke lokasi berasingan, dengan pasukan pertama mengekori sebuah kenderaan dipercayai digunakan sindiket membawa pendatang tanpa izin yang baru diseludup masuk.

Pasukan itu telah berjaya memintas kenderaan yang dinaiki sindiket berkenaan di Pasir Mas, Kelantan dan menahan tiga lelaki Pakistan termasuk transporter dan individu yang diseludup masuk, katanya.

Susulan itu, katanya serbuan dilakukan pasukan kedua di sebuah premis kediaman di Pasir Tumboh, Kota Bharu yang disyaki dijadikan tempat transit pendatang berkenaan, dan menahan lima orang lelaki warga itu termasuk dalang utama sindiket berkenaan.

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah wang tunai RM2,000, lapan pasport Pakistan yang tidak mempunyai cop masuk Malaysia, sebuah kenderaan pelbagai guna dan sebuah kenderaan sedan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan itu.

Dalang utama dan transporter berkenaan ditahan dan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 manakala enam yang dipercayai mangsa penyeludupan ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

Kesemua individu berkenaan ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah, Kelantan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram