[VIDEO] Ambil 'turn' tampar pakai selipar, mangsa buli macam tunggul kena belasah rakan sebaya


  • Tular
  • Jumaat, 01 Sep 2023

Tangkap layar rakaman kejadian buli membabitkan murid sekolah di Ranau, Sabah.

KEJADIAN buli melihatkan pelajar sekolah dilihat semakin menjadi-jadi pada ketika ini.

Baru sahaja reda kes pelajar ditumbuk dan ditendang ekoran daripada berebut teman wanita di salah sebuah sekolah menengah di Johor pada Ogos lalu, tular pula video seorang pelajar lelaki dibelasah beramai-ramai di Sabah pada Jumaat.

Difahamkan video tersebut dikongsikan seorang pengguna media sosial, Ricaldo Ivan Richard di laman Facebook pada Jumaat.

Difahamkan kejadian itu berlaku di sebuah sekolah menengah yang terletak di Ranau, Sabah pada Isnin.

Melalui video berdurasi lima minit lebih itu memaparkan mangsa dikerumuni sekumpulan pelajar di dalam sebuah bilik darjah.

Mereka dilihat seperti berbincang sesuatu sebelum dia ditampar bergilir-gilir oleh beberapa pelajar yang berada di tempat kejadian.

Malah ada yang mengambil kesempatan menumbuk mangsa di badan tanpa belas kasihan.

Selain itu, kelihatan tiga remaja lain dipercayai rakan mangsa turut dilihat ditampar dan ditendang oleh pelajar-pelajar tersebut.

Lebih menyakitkan hati, seorang pelajar dilihat menampar ketiga-tiga mangsa yang tidak melawan menggunakan selipar di pipi.

Insiden itu turut dirakam oleh salah seorang pelajar yang berada di tempat kejadian.

Namun, tidak dinyatakan punca mangsa dan rakannya itu diperlakukan sedemikian rupa.

Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna media sosial Bersamamu Selamanya berkata, kejadian tersebut berlaku di Ranau dan melibatkan beberapa orang pelajar.

"Baru sahaja berlaku dan ibu bapa pelajar yang dibuli itu pun sudah tahu apa yang terjadi.

"Mangsa sudah buat repot polis dan katanya masih dalam siasatan," tulisnya.

Damianus Anj pula meluahkan rasa marah melihat video tersebut.

"Aku marah dan geram melihat video ini. Ramai-ramai buli orang kenapa? Cuba kalau seorang, mesti kecut perut," katanya.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak sekolah ataupun pihak berkuasa.

Majoriti sedang cuba untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram