Kerajaan setuju tambah peruntukan inisiatif, latihan upskilling p-hailing — PM


  • Primer
  • Selasa, 08 Ogos 2023

Anwar mengadakan perjumpaan dengan 24 syarikat pengendali perkhidmatan p-hailing susulan komitmen yang diberikannya semasa perjumpaan bersama rakan-rakan penghantar pada 22 Julai lalu.

KERAJAAN Perpaduan bersetuju untuk meningkatkan peruntukan bagi inisiatif dan latihan peningkatan kemahiran (upskilling) kepada golongan perkhidmatan parcel hailing (p-hailing) yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesemua syarikat pengendali memberikan komitmen untuk lebih telus dalam penentuan dan pengiraan upah serta meneliti dan memperhalusi lebih lanjut akan pandangan daripada pihak penghantar berhubung penentuan dan pengiraan kadar upah.

"Penelitian lanjut ini penting dalam menambah baik kadar upah penghantar, kepentingan pengguna khususnya di kawasan luar bandar harus kekal diutamakan agar tidak terbeban di samping turut mengambil kira keupayaan syarikat.

"Ikhtiar ini membuktikan kerajaan peka dan mengambil berat akan kepentingan semua pihak dalam meningkatkan penjanaan pendapatan rakyat dan memastikan kesinambungan perniagaan," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Anwar memaklumkan, beliau mengadakan perjumpaan dengan 24 syarikat pengendali perkhidmatan p-hailing susulan komitmen yang diberikannya semasa perjumpaan bersama rakan-rakan penghantar pada 22 Julai lalu.

Ujarnya, sesi tersebut turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar serta pegawai kanan kementerian.

"Saya menyampaikan keluhan penghantar terkait dengan isu kadar upah penghantaran.

EDY_5292~2

Anwar turut mendengar pandangan dan aduan daripada syarikat pengendali yang beroperasi di luar Lembah Klang yang tertumpu kepada perkhidmatan di luar bandar.

"Seramai lima wakil daripada penghantar turut sama hadir bagi menyatakan pandangan dan mendengar maklum balas pihak syarikat semasa sesi ini," katanya lagi.

Beliau turut menjelaskan, antara inti pati perbincangan termasuklah tentang pendapatan penghantar, jaringan keselamatan sosial serta keperluan latihan peningkatan kemahiran.

"Saya turut mendengar pandangan dan aduan daripada syarikat pengendali yang beroperasi di luar Lembah Klang yang tertumpu kepada perkhidmatan di luar bandar," ujarnya.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan meminta tempoh seminggu untuk beliau bertemu dengan syarikat p-hailing bagi membincangkan isu berkaitan kadar upah pengambilan dan penghantaran yang dikatakan semakin rendah.

Tambahnya, beliau mahu mendapatkan penjelasan secara langsung daripada syarikat berkenaan berhubung situasi itu yang dilihat agak membebankan pekerja p-hailing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram