Salah faham ketika beli burung walet punca pemuda ditembak di Pantai Remis


  • 112
  • Khamis, 03 Ogos 2023

Polis menerima maklumat bahawa seorang lelaki berusia 26 tahun ditembak oleh seorang lelaki ketika pertemuan di sebuah rumah kosong..

PERSELISIHAN faham ketika urusan jual beli sarang burung walet di sebuah rumah tidak berpenghuni disyaki menjadi faktor seorang lelaki cedera ditembak di Jalan Utama Segari-Pantai Remis, Perak pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Kommisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, polis menerima maklumat dari orang awam seorang lelaki berusia 26 tahun ditembak oleh seorang lelaki ketika pertemuan itu.

"Mangsa mengalami kecederaan di pergelangan tangan kiri dan kini masih dirawat di hospital. Hasil pemeriksaan di tempat kejadian oleh pasukan forensik berjaya menemui dua butir kelongsong peluru," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohamed Nordin berkata, mangsa kini dalam keadaan stabil dan masih dirawat di hospital dan polis masih menyiasat motif sebenar kejadian.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai cubaan membunuh dan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian menghubungi pegawai penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung Inspektor Muhamad Irsyadiman Allmui di talian 011-17836233. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram