TENTERA Darat Malaysia (TDM) akan melakukan siasatan dalaman bagi mengenal pasti mereka yang terlibat dalam insiden beberapa anggota tentera disyaki didera anggota senior di sebuah kem di Sungai Petani, Kedah.
Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan kes itu juga telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
"Kementerian amat memandang serius mengenai isu dera dalam kalangan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat serta terbukti bersalah sama ada secara langsung atau tidak dalam kes seumpama ini.
"Tindakan tegas juga akan diambil terhadap warga ATM sama ada individu atau mana-mana pihak yang sengaja mengeluarkan atau membuat dakwaan palsu sehingga boleh mencemarkan nama baik Mindef dan ATM,” menurut kenyataan itu.
Menurut Mindef, kes itu masih dalam siasatan lanjut pihak polis dan menasihatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
Baru-baru ini, satu video tular di media sosial berhubung laporan polis bertarikh 21 Julai 2023 berkaitan individu dipercayai anggota tentera mendakwa dirinya dan beberapa rakan telah didera secara fizikal oleh anggota senior di sebuah Kem di Sungai Petani, Kedah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram