Hidap penyakit jarang jumpa, Ismail Sabri harap KKM bantu adik Sufi Syafrina


  • Primer
  • Ahad, 23 Jul 2023

Ismail Sabri (kiri) menziarahi adik Sufi Syafrina yang menghidap penyakit SMA Type 1 di kediamannya di Kajang. — Bernama

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap Kementerian Kesihatan dapat membantu bayi berusia enam bulan Sufi Syafrina Mohd Shafiq yang menghidap penyakit jarang jumpa dan memerlukan dana membeli ubat Genetik Zolgensma berharga RM9 juta.

Ismail Sabri berkata, beliau akan menulis surat secara rasmi kepada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa untuk meminta kerajaan membantu bayi malang itu melalui peruntukan kos rawatan penyakit jarang jumpa.

"Sekiranya bajet tersebut ada, jadi sebelum kita dapat kumpul dana khalayak daripada orang ramai, sekurang-kurangnya daripada pihak kerajaan sudah ada (bantuan),” katanya selepas melawat Sufi Syafrina pada Ahad.

Ismail Sabri yang prihatin dengan keadaan Sufi Syafrina juga berharap semua pihak terus menghulurkan sumbangan kepada bayi itu yang menghidap penyakit Atrofi Otot Spina (SMA) Jenis 1.

Bapa bayi berkenaan, Mohd Shafiq Idrus, 38, berkata setakat ini, dana bagi membeli ubat Genetik Zolgensma masih belum mencukupi.

"Setakat ini, dana yang terkumpul kira-kira RM60,000 dan wang ini digunakan untuk perbelanjaan ubat makan iaitu Risdiplam yang sebotol bersaiz 60 mililiter berharga RM40,000 serta fisioterapi dan beberapa kos perubatan lain,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohd Shafiq di talian 011-5978 7879 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 5620 2168 0453. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram