[VIDEO] Anak sahkan Salahuddin Ayub meninggal, jenazah dihantar ke rumah ibu di Tanjung Piai


  • Primer
  • Ahad, 23 Jul 2023

Salahuddin meninggal dunia pada Ahad.

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub disahkan meninggal dunia pada usia 61 tahun di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Berita itu dimaklumkan oleh anaknya, Fatihah Salahuddin menerusi satu hantaran di Facebook dengan memberitahu bahawa bapanya dijemput Ilahi pada pukul 9.23 malam.

"Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami, Salahuddin Ayub telah menghadap Ilahi pada pada 9.23 malam, 23 Julai 2023," katanya.

Sementara itu, berita kematian Allahyarham Salahuddin turut disahkan oleh Pejabat KPDN menerusi satu kenyataan rasmi pada Ahad.

Setiausaha Akhbarnya, Syakirin Husnal berkata, jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk dihantar pulang ke rumah ibu Allahyarham di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai.

Allahyarham Salahuddin meninggalkan seorang balu, Fatimah Taha dan enam orang anak.

photo1690126395

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jenazah Allahyarham Salahuddin akan dibawa pulang ke Johor dengan penerbangan khas pada pukul 1 pagi, Ahad.

Penerbangan tersebut akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 11 malam.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan rasa dukacita terhadap pemergian Allahyarham Salahuddin.

Beliau menyifatkan pemergian Allahyarham Salahuddin adalah satu kehilangan besar buat diri dan keluarganya.

"Saya amat terkesan tatkala Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan juga seorang sahabat yang setia Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin Ayub telah pergi dijemput Allah SWT hari ini (Ahad).

"Secara peribadi, ianya satu kehilangan besar buat diri saya dan keluarga, dan saudara Salahuddin teguh bersama dalam perjuangan yang panjang ini sehingga ke akhir hayat. Jasa dan budinya tentunya tidak termampu dibalas secara materi.

"Beliau dikenali kerana punyai sikap keperibadian yang tinggi, sama ada kepada kawan mahupun lawan. Susuk yang kuat bekerja dan sangat taat pada amanah dan tanggungjawab. Berehatlah, sahabatku," katanya.

Pada Sabtu, beliau dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada 10.15 malam Jumaat dan mendapat rawatan setelah mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram