Wanita mental buat kecoh guna penukul rosakkan harta benda balai bomba


  • Tular
  • Selasa, 04 Jul 2023

Tangkap layar rakaman tular seorang wanita merosakkan harta benda Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal Pulau Pinang.

TINDAKAN seorang wanita membuat kecoh dan merosakkan harta benda milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menimbulkan persoalan ramai baru-baru ini.

Melalui video yang dimuat naik di laman sosial media, memaparkan wanita berkenaan menggunakan tukul dan merosakkan harta milik Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal Pulau Pinang.

Sementara itu, bomba menerima panggilan 11.45 petang mengenai tindakan seorang wanita berbangsa India tidak dikenali dalam lingkungan umur 40-an telah memasuki kawasan balai.

"Wanita berkenaan menimbulkan provokasi dengan sengaja merosakkan harta benda balai (sudut wow faktor balai) dengan menggunakan penukul.

"Tindakan anggota balai cuba menghalang namun tidak dihiraukan oleh wanita berkenaan lalu menghubungi pihak polis dan suspek ditahan di dalam kawasan balai," katanya.

Polis mengesahkan penahanan seorang wanita berusia 53 tahun selepas dia memasuki kawasan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, di sini, semalam, dan merosakkan logo agensi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan pada pukul 12.45 tengah malam daripada pegawai bomba yang bertugas.

Katanya, pemeriksaan mendapati wanita terbabit berasal dari Pulau Pinang dan tidak mempunyai rekod lampau.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas daripada sebarang pengambilan dadah.

"Suspek disyaki mengalami masalah mental dan dirujuk serta ditahan di Wad Psikiatrik Jalan Perak bagi rawatan lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Soffian berkata, permohonan reman ke atas suspek dibenarkan selama tiga hari sehingga Rabu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram