[VIDEO] Polis percaya bapa mangsa kepala air Jeram Mawar mahir selok-belok laluan masuk Hutan Air Putih


  • 112
  • Isnin, 03 Jul 2023

Hanyan menunjukkan gambar sembilan mangsa yang terlibat dalam kejadian kepala air di Jeram Mawar. — Bernama

IDENTITI lapan individu termasuk tujuh sekeluarga yang masih hilang dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih dekat Chukai, Terengganu pada Ahad, dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, tujuh sekeluarga itu ialah Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

Seorang lagi individu yang hilang merupakan tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

CHUKAI, 2 Julai -- Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan (kanan) menunjukkan gambar sembilan mangsa yang terlibat dalam kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, malam ini.Hanyan berkata setakat ini, sembilan mangsa disahkan daripada keluarga yang sama, manakala identiti seorang lagi adalah bakal menantu.Polis mengesahkan dua mangsa maut yang ditemukan merupakan ibu, Azizah Eiyi, 40,dan anak, Muhammad Zulqarnain Haikal, 11, manakala lapan individu lagi masih hilang.-- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Hanyan berkata, sembilan mangsa disahkan daripada keluarga sama, manakala identiti seorang lagi adalah bakal menantu. — Bernama

Terdahulu, polis menerima maklumat mengenai penemuan dua mayat tragedi itu iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, daripada orang awam pada pukul 12.30 tengah hari, Ahad.

"Identiti dua beranak itu dikenal pasti selepas pengecaman dilakukan ahli keluarga di Bilik Forensik Hospital Kemaman.

"Keluarga berkenaan berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang telah datang ke jeram berkenaan sejak 2 petang semalam (Sabtu) untuk berkelah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman pada Ahad.

photo1688314797

Keadaan salah seorang mangsa yang ditemukan tersangkut di atas kayu di tebing sungai. — Telegram

Mayat Azizah ditemukan terapung oleh orang ramai, dihanyutkan arus kira-kira 24 kilometer (km) dari tempat kejadian, manakala Muhammad Zulqarnain Haikal tersangkut pada dahan pokok kira-kira 2 km dari tempat kejadian.

Beliau berkata, pihaknya percaya mangsa, Karim yang bekerja sebagai pemandu jengkaut di Hutan Air Putih mahir dengan laluan di lokasi sehingga mampu untuk masuk ke kawasan itu menggunakan kenderaan yang kurang sesuai.

"Bagaimanapun, mereka mungkin tidak menyedari keadaan kepala air yang datang dengan deras secara tiba-tiba. Kalau tengok keadaan di lokasi tadi, paras air dipercayai meningkat sebanyak lima hingga 10 meter sekali gus, tidak sempat untuk melarikan diri ketika sedang mandi di situ," katanya.

2156427

Mangsa lemas Jeram Mawar dikenal pasti sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Kuantan. — Telegram

Hanyan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan kekuatan 50 anggota daripada pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam dihentikan pada 6 petang, Ahad atas faktor cuaca dan akan disambung semula pada 8 pagi, Isnin.

"Setakat pukul 10 malam tadi (Ahad), tiada sebarang penemuan baharu di lokasi kejadian. Radius kawasan pencarian kita pula seluas 24 km mengambil kira lokasi penemuan mayat pertama.

"Esok kita akan mula pencarian di tebing kiri dan kanan jeram sejauh 8 km. Polis percaya kemungkinan lokasi mangsa boleh berada jauh dari titik awal kejadian kerana dibawa arus kepala air yang deras," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menggunakan khidmat anjing pengesan K9 milik polis dan JBPM, selain akan membuat permohonan menambah kekuatan anggota operasi SAR termasuk bantuan daripada orang luar.

"Malah kalau ada orang awam yang nak bantu pencarian pun kita amat galakkan, bagaimanapun perlu lapor diri terlebih dahulu di Balai Polis Air Putih. Diingatkan agar tidak membuat kerja pencarian tanpa pengetahuan polis," katanya.

Beliau berkata, operasi SAR akan melibatkan tiga fasa kawasan pencarian mengikut kekuatan dan bantuan sedia ada operasi pasukan pencarian.

Beliau bagaimanapun berkata, maklumat berhubung proses pencarian akan dimaklumkan esok dan operasi SAR itu bergantung sepenuhnya kepada faktor cuaca.

Dalam pada itu, katanya mayat Azizah dan Muhammad Zulqarnain Haikal akan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk bedah siasat. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram