Menteri antara 3 saksi dipanggil, SPRM kesan wujud 'orang tengah' minta RM18,000


  • 112
  • Selasa, 04 Jul 2023

SPRM memandang serius isu rasuah yang dikatakan berlaku dalam insiden melibatkan seorang warga China di KLIA. — Bernama

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius isu rasuah yang dikatakan berlaku dalam insiden melibatkan seorang warga China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Sumber berkata, satu siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengesahkan perkara ini.

"Setakat ini, tiga keterangan saksi termasuk menteri yang terlibat dan dua orang saksi utama warga China sudah diambil pihak SPRM.

"Beberapa orang pegawai imigresen yang terlibat akan dipanggil untuk diambil keterangan berhubung perkara ini," katanya.

Menurut sumber terbabit, SPRM juga sudah mengenal pasti seorang individu yang disyaki menjadi orang tengah dalam urusan `menyelesaikan' kes melibatkan seorang pelancong asing yang dikatakan tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini sebagaimana ditetapkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Kami sedang giat mengesan individu yang merupakan agen yang dikatakan meminta wang rasuah sebanyak RM18,000 bagi menyelesaikan kes terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan kes disiasat di bawah seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Beliau mengesa semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan memberikan masa bagi SPRM melengkapkan siasatan ini. — The Star/ Mazwin Nik Anis

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram