[VIDEO] Terima banyak permintaan bertanding PRN Selangor, Azmin Ali biar parti tentukan


  • Politik
  • Ahad, 21 Mei 2023

Azmin bagaimanapun berkata, beliau secara peribadi kekal dengan pendiriannya sebelum ini untuk berehat daripada politik buat sementara waktu.

PENGERUSI Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan beliau menerima banyak permintaan untuk bertanding di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan datang.

Katanya, permintaan itu tidak terhad hanya kepada DUN Morib seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

"Saya terima banyak permintaan, bukan sahaja DUN Morib, tapi beberapa DUN di negeri Selangor," katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PN berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka PN Selangor di Shah Alam, Selangor, pada Ahad.

Ditanya adakah beliau akan mempertimbangkan permintaan tersebut, Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Besar berkata, ia terserah kepada kepimpinan parti.

"Saya serah kepada kepimpinan," katanya ringkas.

Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Gombak itu berkata, beliau secara peribadi kekal dengan pendiriannya sebelum ini untuk berehat daripada politik buat sementara waktu.

Katanya, langkah itu dibuat kerana mahu memberi peluang kepada tokoh pemimpin muda di dalam partinya untuk bertanding pada PRN Selangor kali ini.

"Pandangan peribadi saya setelah berkhidmat tujuh penggal, tiga penggal ahli Parlimen Gombak, tiga penggal DUN Bukit Antarabangsa dan satu penggal DUN Hulu Kelang, maka saya kira sudah tiba masanya saya berikan laluan kepada tokoh muda yang ramai berpotensi dalam PN," ujarnya.

Mohamed Azmin pada 12 Februari lalu mengumumkan berehat sebentar daripada arena politik dan mahu membuat perancangan baharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram