Apa jadi kalau KWSP dicarum 20 peratus?


  • Massa
  • Rabu, 03 Mei 2023

Anwar berkata, setakat 31 Disember lalu, hanya 19 peratus daripada ahli KWSP mencapai tahap simpanan asas mengikut umur bagi membolehkan mereka mempunyai simpanan RM240,000 pada usia 55 tahun. — Gambar hiasan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin memaklumkan bahawa kerajaan akan membincangkan mengenai cadangan agar kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan dinaikkan kepada 20 peratus.

Langkah itu sekiranya dilaksanakan akan membabitkan peningkatan tujuh peratus berbanding kadar semasa 13 peratus yang ketika ini ditanggung majikan.

Cadangan dikemukakan itu dilihat bertujuan bagi memperbaiki simpanan persaraan pekerja di dalam negara yang sebelum ini dilaporkan dalam keadaan membimbangkan.

Situasi itu antara antara lain turut disumbang oleh pelaksanaan empat pengeluaran dana simpanan persaraan itu semasa tempoh pandemik Covid-19 iaitu melalui program i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas.

Pada 11 Februari lalu, Anwar berkata, setakat 31 Disember 2022, hanya 19 peratus daripada ahli KWSP mencapai tahap simpanan asas mengikut umur bagi membolehkan mereka mempunyai simpanan RM240,000 pada usia 55 tahun.

Jelas beliau, selebih dua pertiga lagi daripada ahli aktif mencarum berusia 55 tahun dan ke bawah pula berada dalam situasi serius apabila jumlah dana dikumpulkan tidak mencukupi untuk bersara melebihi paras kemiskinan.

Anawr

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penulis buku geopolitik dan sejarah ekonomi, Ahmad Faezal berkata, langkah tersebut dilihat sememangnya dapat memberikan kesan positif kepada simpanan hari tua pekerja di dalam negara.

"Gaji RM1,500 boleh dapat dalam RM300 (dari majikan). Kalau gaji tak naik 30 tahun, simpanan tu dah cukup nak dapat RM312,000. Mustahii gaji tak naik langsung.

"Simpanan hari tua sebegini banyak dah cukup nak buat rakyat tak bergantung pada kerajaan. Tak perlu dah nak dapat bantuan masa tua," katanya.

Bagaimanapun, dia berpendapat langkah tersebut turut memberikan tempias kepada majikan yang terpaksa menanggung kos tersebut seterusnya secara langsung menyumbang kepada peningkatan harga barang di dalam negara.

Jelasnya, impak terburuk dijangka boleh berlaku ekoran langkah tersebut adalah kemungkinan pengurangan potensi kenaikan gaji dalam kalangan pekerja di Maalaysia.

Ini kerana selain membuat pilihan mengurangkan saiz pekerja, majikan khususnya terlibat dalam perniagaan bersaiz sederhana dan kecil dijangka mengambil langkah menghadkan peningkatan gaji bagi mengimbangi kos peningkatan operasinya.

"Katakan gaji diterima RM1,500. Caruman majikan 13 peratus ketika ini adalah RM195 manakala caruman baru 20 peratus adalah RM300, iaitu peningkatan RM105.

"Caruman pekerja tak perlu kira. Tak penting kat sini. Sebab yang naik sebenarnya adalah RM105 (caruman daripada majikan) tu. Bukan dekat gaji pekerja.

"Dengan situasi inflasi ini, simpanan KWSP naik. Tapi komitmen harian pula kacau. Gaji tak naik," ujarnya.

Bigger market reach: Digi Business’ Go Digital bundles and connectivity plans help traditional brick-and-mortar businesses to create a virtual presence and reach out to a wider base of customers.

Syarikat terlibat dalam perniagaan berskala sederhana dan kecil dijangka merasai kesan lebih tinggi berbanding syarikat besar sekiranya cadangan menaikkan kadar caruman di pihak majikan itu dilaksanakan. — Gambar hiasan

Namun begitu, Ahmad berkata, kemungkinan tersebut boleh ditangani sekiranya kerajaan memberikan pelepasan cukai terhadap syarikat terjejas dengan langkah untuk menaikkan kadar caruman itu.

"Ikut skim 20 peratus, dapat pelepasan sekian-sekian. Jadi kos tak naik. Harga barangan tak perlu naik. Semua orang gembira," jelasnya.

Menurut Ahmad, kerajaan dijangka tidak berhadapan kerugian dengan pelaksaan tersebut meskipun hasil negara dijangka mengalami pengurangan.

"Jadi kerajaan bocor sebab cukai kurang tapi dapat tampung sebab KWSP naik. Sebab tu saya rasa, tindakan ini ada asasnya. Cuma asasnya bawa tempias atau tidak sahaja.

"Apa hak kerajaan guna KWSP? KWSP adalah badan berkanun bawah Kementerian Kewangan. Duit tu akan ke kerajaan juga.

"Cuma pihak kerajaan kena agresif memantau. Benda ni yang selalu gagal. Bila bagi pelepasan, tapi syarikat buat perangai macam tak dapat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram