KWSP terima lebih 74,000 permohonan FSA2, bantu ahli dapat pembiayaan peribadi tanpa beri kesan kepada simpanan


  • Primer
  • Sabtu, 15 Apr 2023

34,643 daripada lebih 74,000 permohonan di bawah Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) layak mendapat inisiatif yang ditawarkan oleh KWSP.

SEBANYAK 74,392 permohonan diterima oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) setakat Jumaat, dengan 34,643 daripadanya adalah permohonan yang layak berjumlah RM722 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, FSA2 disokong institusi perbankan MBSB Bank melalui kemudahan patuh Syariah Ihsan-i yang diperkenalkan sejak 7 April lalu dan Bank Simpanan Nasional (BSN) melalui BSN MyRinggit Insan-i pada Jumaat.

"KWSP menjangkakan jumlah permohonan bagi FSA2 akan terus meningkat, lebih-lebih lagi kini BSN melancarkan BSN MyRinggit Insan-i pada Sabtu.

"Kami berbesar hati kerana kedua-dua MBSB Bank dan BSN menyokong FSA2, kami percaya ia akan membantu ahli yang mempunyai isu kecairan tunai untuk mendapatkan pembiayaan peribadi tanpa impak serius terhadap simpanan persaraan mereka," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

FSA2 disediakan oleh KWSP bagi membolehkan ahlinya membuat permohonan awal untuk Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau Umur 55 Tahun supaya mereka boleh mendapatkan pembiayaan peribadi daripada MBSB Bank dan BSN.

Permohonan akan dibuka selama setahun dan ia membolehkan ahli KWSP mempunyai masa yang cukup untuk membuat permohonan awal bagi Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau Umur 55 Tahun.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, KWSP turut dimaklumkan tentang adanya kekeliruan dalam kalangan segelintir ahli KWSP tentang keperluan pembayaran balik bulanan pembiayaan peribadi terseubt.

"Kami ingin menjelaskan bahawa fasiliti ini disasarkan kepada ahli KWSP yang mempunyai simpanan dalam Akaun 2 dan disokong oleh pendapatan yang berpatutan untuk memastikan mereka mampu membiayai pembiayaan peribadi tersebut dan komited kepada pembayaran balik bulanan tanpa menjejaskan kecukupan dan jaminan pendapatan persaraan mereka.

"Perlu diingatkan bahawa bayaran balik bulanan adalah perlu untuk memastikan pinjaman dibayar tepat pada masanya,” katanya.

file7p6ln2mgj7s17m0phdoe

Amir Hamzah

Amir Hamzah berkata, jumlah kelayakan untuk pembiayaan peribadi tersebut adalah berdasarkan jumlah simpanan dalam Akaun 2, dengan jumlah pembiayaan minimum sebanyak RM3,000 dan maksimum RM50,000.

Menurutnya, ahli KWSP boleh membuat permohonan pembiayaan peribadi secara dalam talian melalui MBSB Bank atau BSN.

"Setelah pembiayaan peribadi diluluskan, ahli boleh mengemukakan permohonan awal bagi Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun kepada KWSP berdasarkan jumlah pembiayaan yang diluluskan.

"Di bawah Fasa 1, ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh pihak bank.

"Amaun pengeluaran yang tertakluk kepada jumlah dalam Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun akan dibuat ke akaun bank ahli apabila ahli mencapai umur antara 50 hingga 55 tahun mengikut pilihan umur pengeluaran ahli," katanya.

Sementara itu, Amir Hamzah memaklumkan, ahli boleh merujuk pautan http://fsa2.kwsp.gov.my/ untuk menyemak kelayakan mereka bagi permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun dan jumlah yang boleh dipohon di bawah fasiliti tersebut.

Selain itu, beliau berkata, soalan lazim berkaitan fasiliti berkenaan juga terdapat di laman web untuk rujukan ahli.

"Ahli disarankan untuk mendaftar atau mengemas kini nombor telefon bimbit mereka melalui Self-Service Terminal (SST) yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP bagi tujuan penerimaan Transaction Authorisation Code (TAC) untuk pengesahan identiti ketika membuat transaksi.

"Untuk maklumat lanjut mengenai Fasiliti Sokongan Akaun 2, layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

KWSP, FSA2, pembiayaan, simpanan, kewangan, BSN, Akaun 2