Bayi baru lahir ditemukan tepi pagar, digigit serangga di Kuantan


  • 112
  • Sabtu, 29 Apr 2023

Bayi tersebut ditemui di atas kayu berhampiran tepi pagar sebuah kilang di Kampung Peramu, Kuantan, Pahang pada Sabtu. — Ihsan PDRM

SEORANG bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemukan di atas kayu berhampiran tepi pagar sebuah kilang di Kampung Peramu, Kuantan, Pahang pada Sabtu dengan kesan gigitan serangga.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan bayi tersebut oleh orang awam pada pukul 12.10 tengah hari pada Sabtu.

Beliau berkata, bayi berkenaan dijumpai oleh seorang wanita berusia 51 tahun yang memaklumkan terdengar tangisan kira-kira pukul 11.30 pagi sebelum bertindak mencari suara berkenaan.

"Wanita itu kemudiannya telah menjumpai bayi lelaki yang ditinggalkan lebih kurang 10 meter dari jarak rumah iaitu berhampiran tepi pagar kilang tersebut dan bayi itu diletakkan di atas kayu selain menyatakan bayi tersebut masih mempunyai tali pusat dan badannya dihinggap kerengga,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Selain itu, Wan Mohd Zahari berkata, wanita berkenaan meminta bantuan kenalannya untuk menghubungi polis bagi tindakan lanjut sebelum bayi tersebut dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang untuk mendapatkan rawatan.

"Doktor menganggarkan bayi itu dilahirkan kurang tiga jam sebelum ditemukan dan keadaannya kini stabil serta masih menerima rawatan di wad kanak-kanak HTAA,” katanya sambil menambah pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuantan sudah dimaklumkan berhubung penemuan bayi tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, siasatan mendapati suspek berkemungkinan telah melahirkan anaknya di lokasi lain dan bertindak menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi itu di tempat kejadian pada awal pagi Sabtu.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bayi, baru lahir, serangga, gigitan, kilang, Kuantan, Pahang