'Raja Funfair sudah tiada,' Mael XPDC meninggal dunia di Hospital Muar


  • Hiburan
  • Khamis, 27 Apr 2023

Mael XPDC meninggal dunia pada usia 56 tahun.

VOKALIS kumpulan legenda rock, Mael XPDC disahkan meninggal dunia di Hospital Muar pada Khamis.

Menurut anaknya, Sharifah Irfatasha, Mael atau nama sebenarnya Syed Ismail Syed Ibrahim, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9.30 malam pada usia 55 tahun.

Perkara itu disahkan oleh Pengurus XPDC, Bro Yazid menerusi satu hantaran di Facebook.

"Innalillahwainnahirojiun. Al Fatihah. Penyanyi XPDC Syed Ismail bin Syed Ibrahim (Mael) telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Muar pukul 9 malam tadi (Khamis)," tulisnya.

Difahamkan, Allahyarham mengalami sesak nafas atau semput sebelum dikejarkan ke hospital. Bagaimanapun punca kematian masih belum dapat dipastikan.

Dalam pada itu, Lola atau Saiful Rizla Kamaruddin yang merupakan rakan artis berasa terkejut mengenai berita tersebut selain tidak menyangka perkara itu berlaku.

“Saya dimaklumkan berita tersebut di dalam group WhatsApp. Memang agak terkejut dan pada mulanya saya tidak percaya.

“Tetapi apabila saya mendapat tahu dan perkara itu dinyatakan oleh pengurusnya, Yazid, saya yakin ini berita betul.

“Saya di Kuala Lumpur sekarang. Insya-ALLAH jika tiada halangan mungkin saya cuba ke sana,” katanya kepada Majoriti.

XPDC amat popular ketika era 1980 hingga 1990-an kerana sering mengadakan konsert di tapak pesta sehingga mendapat jolokan sebagai 'Raja Funfair'. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram