MKT Umno setuju menghadap Agong, mohon pengampunan penuh untuk Najib


  • Politik
  • Jumaat, 07 Apr 2023

MKT Umno sebulat suara bersetuju menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pengampunan penuh terhadap Najib. — Bernama

MAJLIS Kerja Tertinggi Umno sebulat suara bersetuju untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pengampunan penuh terhadap bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pimpinan tertinggi parti itu juga akan mempersembahkan warkah rayuan kepada Seri Paduka Baginda beserta memorandum ditandatangani seluruh pimpinan Umno daripada 191 bahagian.

Menurut beliau, MKT turut mengambil maklum rasa duka cita dan keresahan yang amat ahli akar umbi Umno terhadap keputusan yang didakwa “tidak adil” terhadap Najib yang juga bekas Perdana Menteri.

Katanya, ia seiring kenyataan penghakiman Hakim Besar Sabah dan Sarawak ,Datuk Abdul Rahman Sebli.

Asyraf berkata, Abdul Rahman yang mempengerusikan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan berpandangan Najib tidak mendapat perbicaraan adil dan wajar dibebas dan dilepaskan.

Mahkamah Persekutuan pada 31 Mac lalu menyampaikan keputusan majoriti 4-1 dalam menolak tawaran Najib untuk kebenaran menyemak sabitan dan hukumannya dalam kes RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

“Setelah diperincikan, MKT merafak sembah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong dengan kerendahan diri memohon ihsan untuk mempertimbangkan pengampunan penuh buat Datuk Seri Najib sebagai mana diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada petang Jumaat.

Dalam pada itu, Asyraf berkata, mesyuarat MKT juga menetapkan tarikh Perhimpunan Agung Umno tahun ini diadakan pada 7 hingga 10 Jun ini.

Pada 31 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan menyampaikan keputusan majoriti 4-1 dalam menolak tawaran Najib untuk kebenaran menyemak sabitan dan hukumannya dalam kes RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Dalam pandangan berbezanya, Abdul Rahman yang juga Ketua Hakim Sabah dan Sarawak berkata, Najib tidak mempunyai representasi undang-undang berkesan selepas peguam pilihannya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, enggan mewakilinya lagi dalam rayuan terakhir.

Menurut Abdul Rahman, Mahkamah Persekutuan silap apabila ia enggan membenarkan Hisyam melepaskan dirinya daripada mewakili Najib.

Hakim-hakim lain di mahkamah itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram