Pemain industri vape diberi masa hingga 30 April daftar dengan kastam


  • Primer
  • Ahad, 02 Apr 2023

Langkah pendaftaran awal itu bagi memastikan pematuhan industri menyeluruh dan memastikan pengutipan cukai berjalan lancar menjelang Mei depan.

PEMAIN industri vape diberi tempoh sehingga 30 April untuk mendaftarkan aktiviti pengilangan vape dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata, langkah itu bagi memastikan pematuhan industri menyeluruh dan memastikan pengutipan cukai berjalan lancar menjelang Mei depan.

“Pendaftaran awal dalam tempoh yang ditetapkan ini boleh mengelak pengilang daripada dikenakan kompaun atas kesalahan lewat berdaftar," katanya.

Kementerian memaklumkan pendaftaran pelesenan di bawah Akta Eksais 1976 boleh dilakukan secara dalam talian melalui Sistem MyExcise di pautan https://myexcise.customs.gov.my/myexcise/.

Jelas kenyataan itu lagi, menerusi pewartaan Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2023, duti eksais pada kadar RM0.40 akan dikenakan bagi setiap mililiter cecair atau gel yang mengandungi nikotin digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Katanya, langkah itu membolehkan kerajaan mencukai industri vape yang dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion di samping menyokong usaha tidak menggalakkan penggunaan alat tersebut.

“Dengan pelaksanaan duti eksais ini, Kerajaan akan terus memastikan segala peraturan dan kawalan barangan duti eksais oleh Kastam dapat dipertingkatkan bagi mengelak ketirisan pendapatan negara.

“Seperti yang dijanjikan dalam pengumuman Bajet 2023, separuh daripada hasil duti eksais akan diperuntukkan semula kepada Kementerian Kesihatan dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, MOF menyatakan menyentuh mengenai pengecualian cecair atau gel yang mengandungi nikotin daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia akan membentangkan Rang Undang-undang baharu untuk mengawal semua produk merokok termasuk bahan merokok yang mengandungi nikotin yang digunakan untuk tujuan merokok. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Vape, cukai, duti eksais, MOF, KKM, industri vape