'Mereka pelanggan tetap, saya tak dapat tolak', wanita dikompaun RM2,000 jual makanan kat kaki ponteng puasa di Kota Bharu


  • 112
  • Khamis, 30 Mac 2023

Antara bungkusan nasi dan air yang dijual kepada pelanggan semasa pemeriksaan dijalankan penguat kuasa MDK-PI dan JAHEAIK di Kota Bharu pada Khamis. — Bernama

SEORANG wanita berusia 49 tahun dikompaun RM2,000 selepas didapati bersalah kerana tidak mematuhi waktu perniagaan ketika Ramadan.

Wanita itu dikesan menjual pada waktu awal hari ketika bulan puasa, semasa pemeriksaan dijalankan penguat kuasa Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDK-PI) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) di enam lokasi pada Khamis.

Ketika serbuan di premis peniagaan tersebut di Kampung Badak Mati, Pauh Lima, Kota Bharu, Kelantan, didapati wanita itu menyediakan makanan dan memasak lauk sekitar 20 hingga 30 bungkus untuk dijual kepada pelanggan tidak berpuasa.

"Saya tidak dapat menolak kerana mereka merupakan pelanggan tetap dan kebanyakannya penganggur dan buruh di sekitar kawasan kampung ini.

"Saya menerima permintaan daripada penduduk setempat, yang akan mengambil bungkusan nasi pada waktu dijanjikan,” katanya.

Tindakan wanita berkenaan dikesan menerusi Operasi Bersepadu Banteras Geng Ponteng Puasa di sekitar Ketereh, Kota Bharu, pada Khamis.

WhatsApp Image 2023-03-30 at 6.49.16 PM (1)

Antara lauk yang dimasak untuk dijual kepada pelanggan.

Sementara itu, Setiausaha MDK-PI Mohd Azman Ghazali berkata, operasi kali pertama itu dijalankan menerusi maklumat diberikan orang ramai.

"Peniaga ini adalah antara pemilik premis makanan yang dikenakan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Mencegah Kekotoran MDK-PI 2019, membabitkan empat kesalahan iaitu kebersihan premis, kesihatan, aurat dan berniaga di waktu larangan.

"Operasi ini turut melibatkan pegawai JAHEAIK di lokasi yang mendapat aduan daripada orang ramai antaranya Kampung Kubang Kiat, Peringat, Aril, Salor dan Pauh Lima,” katanya.

Menurut Mohd Azman, daripada serbuan di enam lokasi berkenaan, pihaknya mengeluarkan tujuh kompaun di bawah UUK Mencegah Kekotoran MDK-PI 2019 dan UUK Mencegah Kekotoran MDK-PI 2019. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram