Kelibat van putih 'bikin' kaki ponteng puasa lari tinggalkan air ketum, rokok


  • 112
  • Rabu, 29 Mac 2023

Tempat kaki ponteng puasa menjalankan kegiatan mereka. — Kedah Online

KEGIATAN ponteng puasa oleh beberapa individu terbantut selepas pihak berkuasa menemui tempat sarang mereka melakukan aktiviti tersebut yang terletak berhampiran chalet terbengkalai di Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah.

Pegawai Agama Daerah Padang Terap, Ahmad Muzzamil Yub berkata, kumpulan tersebut bertempiaran lari sebaik melihat kehadiran van putih milik pihaknya dalam operasi Ops Ramadan pada Selasa.

Kerana bimbang ditahan, kesemua individu terbabit juga tidak sempat untuk membawa barangan mereka yang ditinggalkan di pondok rehat di kawasan tersebut.

Ahmad Muzzamil berkata, antara yang ditemui ketika pemeriksaan adalah beberapa botol minuman berisi air ketum.

“Ketika pemantauan dilakukan, kita turut mengesan rokok masih berasap dipercayai dibuang individu tersebut.

“Kita melakukan pemantauan di banyak tempat sekitar Padang Terap selain pondok rehat itu dan mendapati lebih kurang 13 individu yang bertempiaran lari sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa,” katanya seperti dilaporkan Kedah Online.

Operasi yang dilakukan oleh Pejabat Agama Daerah Padang Terap itu melibatkan lapan anggota yang diketuai oleh Ketua Unit Penguat kuasa, Zafri Zainul Abidin.

Dalam pada itu, Ahmad Muzzamil memaklumkan, terdapat taktik lain turut dikesan pihaknya yang digunakan golongan kaki ponteng puasa di kawasan tersebut.

Ia termasuk menggunakan kedai bukan Muslim untuk mendapatkan bekalan makanan.

kedah

Kedai bukan muslim termasuk kedai runcit digunakan sebagai cara untuk mereka yang tidak berpuasa mendapatkan bekalan makanan. — Gambar hiasan

Menurut, cara licik itu dibuat dengan cara meletakkan makanan yang dibuat oleh peniaga Islam di kedai bukan Islam termasuk kedai runcit.

Beliau memberi amaran kepada individu terlibat supaya berhenti daripada melakukan perbuatan tersebut kerana ia dikhuatiri mencemarkan imej Islam.

Katanya, tindakan boleh diambil kepada individu yang makan atau minum di khalayak ramai pada bulan Ramadan di bawah Seksyen 14 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

Jelas beliau, mana-mana individu dikesan tidak menghormati bulan Ramadan dengan menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan,minuman, rokok dan benda lain seumpamanya untuk dimakan, diminum ataupun dihisap dalam waktu berpuasa juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 14 (a) enakmen sama.

Ahmad Muzzamil berkata, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali bagi kedua-kedua kesalahan tersebut.

Paada masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa orang ramai boleh membuat aduan berkenaan aktiviti tersebut memlalui imam kariah atau Pejabat Agama untuk tindakan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram