Identiti 'Datuk Roy' dikenal pasti, alamat terakhir tinggal di Pahang


  • 112
  • Isnin, 13 Mac 2023

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai 'Datuk Roy' diminta menghubungi pegawai SPRM.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang lelaki tempatan dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan program Jana Wibawa.

SPRM dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan Datuk Roy atau nama sebenarnya Mohd Hussein Mohd Nasir, 54 tahun mempunyai alamat terakhir di No. 3, Lorong 3 RRM Semambu, 25350 Kuantan, Pahang.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Mohammad Asyraf Mustafa menerusi talian 013-4405210.

Pada Ahad, Bernama melaporkan SPRM menahan seorang pegawainya dan tiga individu lain termasuk seorang wanita pada Khamis lepas kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah sebanyak RM400,000 bagi mengelakkan siasatan melibatkan kes program Jana Wibawa.

Menurut sumber, wanita berkenaan bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM, manakala tiga suspek lain kini direman hingga Selasa.

Sehubungan itu, SPRM sedang mencari 'Datuk Roy' yang sebelum ini pernah dituduh di mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan rasuah, kerana dipercayai menjadi perancang utama dalam kes rasuah berkenaan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram