Muhyiddin mengaku tak bersalah terima wang haram RM5 juta


Muhyiddin ditemani isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman tiba di Mahkamah Shah Alam, Selangor pada Isnin. — Bernama

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen, Shah Alam, Selangor atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta pada Isnin.

Muhyiddin, 75, yang juga merupakan Presiden Bersatu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

"Saya faham pertuduhan, saya mengaku tidak bersalah,” kata Muhyiddin.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa sebagai Presiden Bersatu menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank milik parti berkenaan di AmBank cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya, Selangor, pada 7 Jan 2022.

Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, sabit kesalahan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib memohon mahkamah supaya mengguna pakai ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin berserta syarat tambahan yang ditetapkan ke atas Muhyiddin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur minggu lepas.

"Saya juga memohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memandangkan ia berkait dengan perbicaraan di sana serta tarikh sebutan di Mahkamah Sesyen tersebut sudah ditetapkan pada 26 Mei ini,” katanya.

Permohonan itu tidak dibantah peguam mewakili Muhyiddin, iaitu Datuk K. Kumaraendran.

Rozilah kemudian membenarkan permohonan pendakwaan untuk mengguna pakai jaminan serta syarat tambahan yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur iaitu tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah serta membenarkan kes itu dipindahkan ke mahkamah sama (Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur).

Pada 10 Mac lepas Muhyiddin, 75, dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan berkaitan wang dalam akaun Bersatu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram