Struktur LRT Bandaraya retak disyaki berpunca daripada kerja tapak pembinaan bersebelahan, dedah menteri


  • Primer
  • Rabu, 22 Feb 2023

Struktur bangunan retak dipercayai kesan daripada kerja-kerja di tapak pembinaan bersebelahan.

HASIL siasatan ke atas kerosakan struktur yang retak berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandaraya di ibu negara mendapati ia diakibatkan oleh pergerakan tanah yang dipercayai daripada kerja-kerja di tapak pembinaan bersebelahan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerja-kerja itu mula dijalankan tanpa sebarang perundingan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di bawah Peraturan-Peraturan Kereta Api (Zon Perlindungan Kereta Api) 1998 [P.U. (A) 367].

Sehubungan itu, Loke berkata, Kementerian Pengangkutan akan melihat kepada kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju terbabit sekiranya didapati masalah itu benar-benar berpunca daripada mereka.

"Semua projek pembinaan yang dibina berdekatan dengan zon perlindungan kereta api perlu mendapat kebenaran daripada pihak APAD. Sudah tentu kita berasa kesal dengan kejadian yang berlaku ini yang disebabkan projek pembinaan dimulakan tanpa kebenaran APAD.

"Ini memberikan kesan kepada penumpang kerana gangguan ini bukannya disebabkan oleh kerosakan sistem kita, tapi adalah kerana kerosakan struktur yang disebabkan oleh projek pembinaan yang dipercayai bersebelahan Stesen Bandaraya,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen pada Rabu.

Untuk mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan, Loke turut menggesa pihak berkuasa tempatan supaya merujuk terlebih dahulu kepada APAD bagi sebarang pembinaan yang berada dalam zon perlindungan kereta api.

Mengulas lanjut, Loke berkata pihak Prasarana sedang dalam proses melantik kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih yang akan dimulakan pada awal bulan Mac dan dijangka mengambil masa hingga tujuh bulan untuk disiapkan.

"Tempoh ini merangkumi dua bulan untuk kerja-kerja baik pulih sementara bagi mengukuhkan struktur dan lima bulan untuk kerja-kerja baik pulih secara menyeluruh. Kerja-kerja baik pulih tersebut akan mengambil masa kerana siasatan menunjukkan kerosakan kepada struktur yang terjejas menimbulkan risiko keselamatan yang amat serius,” katanya.

Loke berkata, Prasarana akan mengambil langkah-langkah mitigasi bagi mengurangkan gangguan perkhidmatan kepada para pengguna.

Media sebelum ini melaporkan perkhidmatan LRT laluan Ampang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran Stesen Bandaraya selain kerosakan struktur jejambat di kawasan berkenaan dipercayai disebabkan kerja-kerja pembinaan di kawasan bersebelahan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

LRT, retak, Anthony Loke, pembinaan, landasan, jejambat