Tindakan tuduh pendakwaan sembunyi surat hadiah AS$180 juta suatu serangan — Gopal Sri Ram


Gopal Sri Ram (kiri) dan Muhammad Shafee. — Foto Bernama

PIHAK pendakwaan menafikan menyembunyikan lima pucuk surat dari Arab Saudi berkaitan lima transaksi wang tunai yang mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak menerima hadiah daripada Arab Saudi, kepada Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada Selasa.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram menjelaskan dokumen itu tidak dikemukakan kerana tidak berkaitan dengan perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang dihadapi Najib.

Sri Ram berkata, semua surat yang dirujuk oleh pasukan pembelaan sudah dikemukakan dalam perbicaraan kes menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd di peringkat pendakwaan dan di peringkat rayuan yang berakhir Ogos lalu.

“Ia merupakan surat sama ditolak Hakim Mahkamah Tinggi di sini (ketika itu), Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan panel-panel hakim di Mahkamah Persekutuan.

“Mereka tidak boleh cakap kami sembunyikan dokumen sebab ia tidak relevan dengan kes yang kami bawa,” katanya ketika mengadu kepada Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Sri Ram berkata, tindakan pembelaan merupakan suatu serangan kepada pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika ia tetap dibangkitkan, mereka memberi amaran agar pembelaan menghentikan perbuatan tersebut.

Katanya, pendakwaan akan membuat permohonan kepada mahkamah bagi menghalang tindakan itu sekiranya mereka berkeras untuk membicarakan kes ini kepada umum.

Sementara itu, peguam yang mewakili Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed mencelah dengan menyatakan bahawa, kes SRC adalah perkara yang berbeza dan tiada kaitan dalam perbicaraan ini.

"Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan menjawab kenyataan yang dikeluarkan pendakwaan, pagi Rabu," katanya sambil menambah bahawa peguam utama Najib itu tidak hadir dalam prosiding pada Selasa kerana tidak sihat.

Sequerah kemudian memberi peluang kepada Muhammad Shafee untuk menjawab aduan berkenaan dalam prosiding seterusnya.

Dalam sidang media di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, Muhammad Shafee mluahkan rasa tidak puas hati atas kegagalan pihak pendakwaan mengemukakan lima surat berhubung transaksi wang hampir AS$180 juta ke akaun Najib.

Muhammad Shafee dalam kenyataannya berkata, lima surat membabitkan dua daripada Kementerian Kewangan Riyadh dan tiga daripada Putera Faisal Turkey Bandar Al Saud antara Ogos 2011 hingga Ogos 2012.

Beliau berkata, pendakwaan telah memanggil dua saksi iaitu saksi pendakwaan ke-37, (SP-37) Pengurus cawangan Ambank Jalan Raja Chulan, R Uma Devi, 43 dan SP-38, Pegawai AmBank, Yap Wai Keat, 57.

Namun katanya, dua saksi ini hanya merujuk kepada dua transaksi pada 13 Jun 2011 dan 23 Februari 2011 daripada Putera Faisal dengan jumlah masing-masing AS$9,999,970.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram