Malaysia tidak iktiraf sebarang tuntutan terhadap Beting Patinggi Ali — MINDEF


  • Primer
  • Jumaat, 27 Jan 2023

Beting Patinggi Ali dan kedudukannya di perairan Sarawak.

KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) menjelaskan bahawa Beting Patinggi Ali adalah milik Malaysia dan tidak pernah mengiktiraf sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak lain memandangkan ia di dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

MINDEF dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, dari sudut geografi, Beting Patinggi Ali terletak di kedudukan 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri (spesifiknya di Tanjung Baram), Sarawak dan dalam kawasan perairan ZEE Malaysia.

"Kedaulatan negara akan terus dipelihara dan sentiasa menjadi keutamaan MINDEF dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," menurut kenyataan itu bagi menjelaskan laporan media pada 25 Januari lepas mengenai tuntutan kawasan Beting Patinggi Ali, Sarawak.

Pada Rabu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa ATM mempunyai aset yang mencukupi untuk memantau kawasan pertikaian di sekitar Beting Patinggi Ali.

Beliau berkata, langkah berkenaan diambil adalah untuk memantau kehadiran kapal pengawal pantai China dan penting untuk negara meletakkan aset ketenteraan di kawasan pertindihan itu bagi mengelakkan ia dianggap dimiliki negara lain.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan bahawa kapal peronda kelas - Kedah milik Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Kelantan berada di perairan sekitar Beting Patinggi Ali untuk memantau kehadiran kapal pengawal pantai China di perairan Malaysia yang kaya dengan sumber minyak dan gas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram