Sakit dada ketika disoal siasat, Johor catat kes ke-2 warga asing mati dalam tahanan


  • 112
  • Isnin, 23 Jan 2023

Lelaki itu ditahan di sebuah kondominium di Johor Bahru pada 12.10 tengah malam, Isnin.

KEMATIAN kedua dalam tahanan polis dilaporkan di Johor Bahru, Johor membabitkan seorang lelaki warga asing berumur 49 tahun. Lelaki itu meninggal dunia dalam tempoh dua jam selepas penahanannya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki itu ditahan di sebuah kondominium di Johor Bahru pada 12.10 tengah malam, Isnin.

"Lelaki itu ditahan kerana disyaki memiliki ganja seberat 54.7 gram bernilai RM2,850.

"Ketika proses dokumentasi di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS kira-kira pukul 1.20 pagi, lelaki berkenaan

mengadu sakit dada," katanya.

Raub berkata, lelaki berkenaan dikejarkan Hospital Sultanah Aminah (HSA) menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan segera.

"Namun pada jam 2.27 pagi, pegawai perubatan yang memberi rawatan mengesahkan kematian lelaki itu di HSA," katanya.

Menurut Raub, polis menghubungi anak-anak si mati dan mereka mengesahkan bapa mereka mempunyai sejarah 20 tahun menghidap penyakit jantung dan darah tinggi.

Katanya, lelaki itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Bedah siasatan ke atas mayat dijadualkan dijalankan di HSA bagi mengetahui punca kematian.

"Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes ini," katanya.

Pada 11 Januari lepas, seorang lelaki berusia 47 tahun yang ditahan berkaitan kesalahan dadah meninggal dunia ketika dalam tahanan di Balai Polis Larkin.

Dia mengadu sakit dan muntah-muntah kira-kira pukul 6.30 pagi sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Larkin pada pukul 7.45 pagi, namun meninggal dunia pada pukul 8.30 pagi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram