Pengusaha bengkel cedera parah di kepala maut dilanggar kereta lumba di Kampung Gajah


  • 112
  • Ahad, 01 Jan 2023

Mangsa lelaki berusia 32 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika dirawat di wad kecemasan Hospital Changkat Melintang pada pukul 5 petang.

SEORANG penonton yang dilanggar sebuah kereta lumba yang terbabas semasa Pertandingan "CCT Battle of Champion” di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan pada Sabtu.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa lelaki berusia 32 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika dirawat di wad kecemasan hospital berkenaan pada pukul 5 petang.

"Hasil bedah siasat dijalankan mendapati mangsa yang juga pengusaha bengkel kenderaan di Kamunting, Perak meninggal dunia disebabkan kecederaan di kepala dan pendarahan di bahagian paru-paru.

Siasatan sedang dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ketika kejadian pada pukul 3.30 petang itu, terdapat 12 kereta Proton Satria sedang beraksi dalam perlumbaan lima pusingan bagi kategori 1,800cc sebelum dua daripadanya bergesel lalu sebuah daripadanya terbabas ke kanan laluan litar dan melanggar salah seorang penonton yang berada di atas kawasan berumput.

Menurutnya, mangsa yang cedera parah diberikan rawatan segera oleh pegawai perubatan yang berada di kawasan litar perlumbaan sebelum dikejarkan ke hospital berkenaan untuk rawatan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram