Salah tukar saluran TV, adik cedera parah dipukul penganggur


  • 112
  • Selasa, 27 Dis 2022

Penganggur berusia 26 tahun itu ditahan awal Selasa di unit kondominium yang sama. — Gambar Hiasan

GARA-GARA menukar saluran televisyen, seorang lelaki dimasukkan ke hospital selepas abangnya sendiri tergamak memukulnya di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Permai, di Ampang, Kuala Lumpur pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa mengalami kecederaan di dada, rusuk dan muka dalam serangan itu pada Isnin.

Kejadian berlaku di sebuah unit kondominium di Jalan Bukit Permai selepas mangsa, seorang penjual burger berusia 23 tahun, tersalah tekan saluran TV yang betul untuk abangnya.

“Kira-kira pukul 4 pagi suspek menyuruh mangsa menukar saluran tetapi dia secara tidak sengaja tekan butang yang salah menyebabkan dia ditumbuk pada badan dan muka.

“Suspek turut menampar mangsa dan mengugutnya,” kata Mohamad Farouk dalam satu kenyataan pada Selasa.

Penganggur berusia 26 tahun itu ditahan awal Selasa di unit kondominium yang sama.

Semakan mendapati suspek mempunyai dua kesalahan terdahulu dalam rekodnya, termasuk satu kesalahan mencuri kereta.

"Suspek tidak mempunyai rekod penyakit mental. Dia diketahui kerap bergaduh dengan mangsa kerana sikap baran," kata Mohamad Farouk.

Polis telah menahan reman suspek sehingga Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram