OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelapan mengesan seorang lagi mangsa terakhir tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm,Batang Kali dekat Selangor , ditangguhkan sementara ekoran hujan lebat di lokasi pencarian petang Jumaat.
Bercakap kepada Bernama, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, ia ditangguhkan pada 5.30 petang tadi atas faktor keselamatan anggota penyelamat yang terlibat.
Beliau juga tidak menolak SAR akan disambung semula bila-bila masa hari ini selepas keadaan bertambah baik.
Tinjauan Bernama di Pos Kawasan Tempat Kejadian (PKTK) setakat 5.55 petang ini mendapati hujan masih lebat dan keadaan berkabus di kawasan sekitar, manakala anggota penyelamat yang terlibat SAR dilihat berlindung di pos kawalan bomba menunggu cuaca reda.
Selain mangsa terakhir dipercayai seorang kanak-kanak lelaki yang masih hilang, tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lepas itu setakat ini menyaksikan 61 selamat, manakala 30 nyawa terkorban daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan terbabit. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram