Ubati rindu pada Najib, anak teman Rosmah tidur


  • Massa
  • Jumaat, 16 Sep 2022

Rosmah percaya bahawa Najib berhak mendapat keadilan dan mahukan keadilan penuh dan menyeluruh untuknya. — Instagram

KETIADAAN bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ekoran dipenjara atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd nyata mengundang suram buat isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak-anak mereka di rumah.

Perkara itu dikongsikan anak perempuan Najib, Nooryana Najwa menerusi hantaran sekeping foto di Instagram yang merakam kepiluan yang perlu dilalui dia dan ibunya selepas Najib dimasukkan ke penjara.

"Daddy tidak ada di sisi kami, tidak di rumah lagi kini.

"Saya cuba menemani Mummy sebanyak mungkin, mengubati rindunya dengan kekosongan di rumah...adakalanya waktu tidur juga supaya katil di sebelah Mummy tidak rasa kosong sangat," katanya di ruangan kapsyen.

Nooryana berkata, gambar ibunya bertelekung dan memohon doa itu sempat dirakam ketika waktu Subuh, pada Jumaat.

"Mummy seorang isteri yang sangat merindui suara, gelak tawa, keceriaan, suaminya di sisi.

"Seorang ibu yang kini memikul tanggungjawab ketua rumah kami buat sementara waktu, dan pada masa sama juga memperjuangkan keadilan buat dirinya.

"Seorang nenda yang sentiasa cuba memikirkan bagaimana menjawab soalan cucunya apabila ditanya di mana atuk?

"Seorang yang memahami perjuangan dan laungan Bossku, sentiasa berada di sisinya sepanjang masa ini, waktu suka dan dukanya," kata Nooryana Najwa.

Tambahnya, ibunya juga percaya bahawa Najib berhak mendapat keadilan dan mahukan keadilan penuh dan menyeluruh untuknya.

"Kita akan terus berusaha dan berdoa untuk kesihatan dan kebebasan Najib agar dapat ketenangan dan kedamaian di masa dia sudah berumur kini," katanya.

Najib baru saja menjalani hukuman penjara selama 12 tahun bermula 23 Ogos lalu.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram