Besut mula ditenggelami banjir, jumlah mangsa ke PPS dijangka meningkat


  • 112
  • Ahad, 18 Dis 2022

Penduduk Mhd Sharif Jusoh, 62, melakukan persiapan dengan meletakkan sampan di bawah rumahnya sebagai persediaan untuk berpindah selepas air sungai berhampiran melimpah semasa tinjauan di Kampung Paloh Nyior , Terengganu, Khamis lalu.

PENDUDUK di beberapa kawasan di Terengganu diminta bersiap siaga dan peka dengan arahan pihak berkuasa bagi menghadapi kemungkinan banjir.

Ia susulan kenaikan paras air sungai di beberapa kawasan di daerah Besut, Setiu, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Terengganu dalam laman media sosialnya memaklumkan stesen yang telah mengalami kenaikan air aras bahaya pada 8 pagi Ahad termasuk Sungai (Sg) Telemong di Kampung (Kg) Sungai Ping dan Sg Berang di Kg Menerong di daerah Hulu Terengganu.

Di daerah Setiu, sungai yang melepasi aras bahaya ialah Sg Nerus di Kg Langkap; Sungai Chalok di Jambatan Chalok dan Sg Setiu di Jambatan Permaisuri manakala di Besut stesen terlibat ialah Sg Besut di Kg Keruak dan Sungai Besut di Kg La.

Sg Tumpat di Kg Baru, Kemasek di Kemaman dan Sungai Peneh di Felda Mengkawang pula berada pada aras amaran manakala Sg Nerus di Kg Bukit di Setiu berada pada aras waspada.

Sementara itu, jumlah penduduk terjejas banjir di Terengganu meningkat kepada 47 orang daripada 13 keluarga, dengan tiga lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu dua di daerah Hulu Terengganu dan satu di Dungun.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), PPS tersebut ialah Balai Raya Kampung (Kg) Perih yang menempatkan 10 orang daripada dua keluarga dan Balai Raya Kg Cheting (10 orang daripada empat keluarga) di Hulu Terengganu, manakala satu PPS di Masjid Kg Jongok Batu di Dungun (empat orang sekeluarga).

PPS sedia ada di Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol di Kuala Terengganu masih menempatkan 23 orang daripada enam keluarga, sama seperti malam tadi dengan keadaan cuaca juga dilaporkan hujan di beberapa kawasan.

Dalam perkembangan lain, seramai 1,750 mangsa banjir masih berada di PPS di empat negeri terjejas pagi Ahad.

Jumlah mangsa banjir teramai adalah di Kelantan iaitu 1,584 daripada 490 keluarga, kekal seperti semalam dan menurut JPBN kesemua yang terjejas kini ditempatkan di enam PPS di jajahan Pasir Mas.

Sementara itu, laporan https://publicinfobanjir.water.gov.my/ mendapati Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah merekodkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 24.6 meter (m).

Empat lagi sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (8.76 m), Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat (2.32 m), Sungai Pergau di Jambatan Jerimbong, Jeli (53.89 m) dan Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli (29.25 m).

Di Johor, jumlah mangsa banjir di daerah Segamat kekal 75 orang daripada 21 keluarga dan ditempatkan di tiga PPS.

Di Perak pula, terdapat 44 mangsa daripada 13 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) Batu 4 dan SK Sungai Tiang Darat, demikian menurut Sekretariat JPBN.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual melawat rumah mangsa banjir di sekitar Bagan Datuk dan juga yang ditempatkan di SK Sungai Tiang Darat pagi Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram