TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesemua bantuan serta inisiatif yang diberikan kerajaan terdahulu kepada mangsa banjir akan diteruskan.
Ia termasuk pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) bernilai RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah yang berdaftar dan layak berdasarkan terma dan syarat.
"Bayaran ini akan dilakukan dengan segera sebelum banjir surut dan sebelum mangsa pulang ke rumah masing-masing. Berdasarkan pengalaman yang lalu, kami dapati jumlah mangsa banjir yang berdaftar tidak sama dengan permohonan yang dibuat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja dan menziarahi mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh di Rantau Panjang, Kelantan pada Khamis.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, langkah proaktif akan terus dilakukan kerajaan bersama agensi pelaksana bagi memastikan pengurusan banjir berjalan lancar dan teratur.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bantuan akan diberikan sehingga RM10,000 kepada setiap keluarga yang terjejas akibat banjir di Terengganu dan Kelantan.
Beliau berkata, bayaran itu meliputi sumbangan pembelian barangan keperluan berjumlah RM2,500, diskaun baik pulih kenderaan, rebat pembelian barangan elektrik RM500 dan bantuan baik pulih rumah bagi kerosakan akibat bencana itu.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan turut komited untuk meneruskan mana-mana projek yang diluluskan oleh pentadbiran terdahulu seperti tebatan banjir
Tegasnya, kerajaan bukan sahaja akan mengkaji tetapi bakal melaksanakannya dengan kadar segera berdasarkan peruntukan yang disediakan oleh Kementerian Kewangan.
"Semasa sidang khas Parlimen pada 19 Disember nanti, kerajaan akan membentangkan emolumen dan perbelanjaan projek-projek yang akan dibayar yang mana projek itu sedang berjalan," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram