Kerjasama FBI bantu PDRM cekup lelaki miliki pornografi kanak-kanak


  • 112
  • Khamis, 15 Dis 2022

Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan dengan kerjasama PDRM dan FBI.

SEORANG lelaki beruisa 39 tahun ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Klang, Selangor kerana disyaki memiliki sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak di dalam komputer miliknya.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, suspek ditahan pada Selasa oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan oleh PDRM mendapati terdapat sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak di dalam komputer peribadi miliknya.

"Siasatan juga mendapati suspek turut berkomunikasi dengan mangsa kanak-kanak selain memuat turun bahan pornografi kanak-kanak menggunakan media sosial.

"Sehubungan itu, polis merampas komputer, cakera keras luaran (external hard disk), penghala (router) dan telefon bimbit milik suspek untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah Noorsiah, kejayaan tangkapan lelaki itu adalah hasil kerjasama erat PDRM dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan suspek kini direman selama empat hari bermula 14 Disember hingga 17 Disember nanti.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

"Setakat ini, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti mangsa yang terlibat dalam kes ini,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram