Gaji satu saja kata Anwar, jemaah menteri setuju potong 20 peratus pendapatan bulanan


  • Primer
  • Isnin, 05 Dis 2022

Menurut Anwar pemotongan gaji itu akan disemak semula selepas ekonomi kembali pulih.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa seluruh jemaah menteri akan dipotong gaji bawah 20 peratus.

Perkara itu dicapai dalam mesyuarat khas kabinet yang berlangsung pada pagi Isnin.

Mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan diadakan di Putrajaya pada Isnin dan ia merupakan pertemuan pertama kesemua Jemaah Menteri setelah mengangkat sumpah jawatan pada 3 Disember.

Pada Jumaat lalu menyaksikan seramai 28 Menteri dilantik bagi membarisi Kabinet Kerajaan Perpaduan dengan Anwar Ibrahim bakal dibantu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Anwar berkata, pemotongan gaji itu akan disemak semula selepas ekonomi kembali pulih.

"Kalau ekonomi pulih dalam tempoh tiga tahun, ia akan disemak," katanya menerusi sidang akhbar pasca mesyuarat kabinet pertama di Putarajaya, pada Isnin.

Malah, Perdana Menteri kesepuluh itu juga menjelaskan kepada rakyat yang tertanya-tanya mengenai isu gaji beliau sebagai Menteri Kewangan.

Hal ini kerana, ramai pihak membangkitkan sama ada Anwar mengambil gaji selepas memegang portfolio kewangan.

"Ramai yang cakap memanglah tidak ambil gaji PM tapi dapat gaji Menteri Kewangan. Tidak saya tidak ambil, gaji hanya satu sahaja," jelasnya.

Selepas lantikannya sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu, beliau memilih untuk tidak mengambil gaji bagi jawatan tersebut.

Menurutnya, keputusan tersebut merupakan langkah pertama untuk memulih keyakinan rakyat terhadap pimpinanannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram