PAS jadi pembangkang, hormati pilihan rakyat Pahang


  • Politik
  • Isnin, 28 Nov 2022

Wan Rosdy mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang pada Isnin. — Bernama

PAS menghormati pilihan rakyat pada pilihan raya baru-baru ini dan akan berperanan sebagai pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang susulan pembentukan kerajaan negeri antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar.

"PAS dan Perikatan Nasional (PN) akan berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif dengan menegur dan menasihati semua pihak supaya tadbir urus negeri berjalan lancar dan bersesuaian dengan matlamat pembentukan negeri yang diinginkan PN iaitu prihatin, bersih dan stabil," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi beliau pada Isnin.

Pada Isnin, Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Abu Bakar di Pekan atas perkenan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tengku Hassanal juga berkenan dengan pembentukan kerajaan negeri antara BN dan PH selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan tiada parti memperoleh majoriti mudah 22 kerusi DUN Pahang bagi membentuk kerajaan negeri.

Terdapat 42 kerusi DUN Pahang, namun proses pengundian bagi DUN Tioman ditangguhkan ke 7 Disember ini ekoran kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Harapan Pahang Young Syefura Othman menyifatkan situasi gabungan BN dan PH yang mengetepikan perbezaan untuk bersama membentuk kerajaan di Pahang sebagai duluan (precedent) dalam sejarah politik negeri itu demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

"Saya menyambut baik gagasan baharu ini dan saya berharap ia dapat membawa satu nafas baharu yang segar dalam pentadbiran kerajaan negeri. Kerajaan BN sudah tentu berpengalaman menjadi kerajaan negeri akan disertai PH dan setiap pandangan yang berbeza selama ini diharap bakal melengkapi setiap kelompongan yang ada," katanya.

Sementara itu di Kelantan, Bernama melaporkan, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberi jaminan parti itu akan bertindak sebagai pembangkang yang membina di DUN Pahang demi kebaikan rakyat di negeri itu.

"Kita juga akan memberi teguran-teguran membina dalam negeri Pahang, malah bagi hubungan personal dengan BN, kami tidak ada masalah dan menghormati pendirian setiap parti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Kesyukuran PAS Kubang Kerian di Masjid Bandar Satelit Pasir Tumboh, Kelantan pada Isnin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram