SICCE sasar 100 MoU bernilai RM4 bilion dimeterai tahun depan


  • Bizz
  • Jumaat, 11 Nov 2022

Shanmughanathan (dua kanan) pada majlis sesi perbincangan padanan B2B anjuran SICCE baru-baru ini.

DEWAN Perniagaan dan Usahawan India Selangor (SICCE) menyasarkan sejumlah 100 memorandum persefahaman (MoU) mencecah nilai RM4 bilion akan dimeterai usahawan dari pelbagai negara termasuk India dan Sri Lanka menjelang Mei 2023.

Presiden SICCE, Datuk Dr V Shanmughanathan berkata, sasaran itu berdasarkan inisiatif semasa yang mendapat sambutan memberangsangkan dengan sejumlah 10 MoU bernilai RM50 juta termeterai baru-baru ini.

Katanya, semua MoU itu dimeterai antara usahawan tempatan dengan perusahaan luar negara dalam satu sesi perbincangan padanan perniagaan (B2B) anjuran SICCE di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Sesi perbincangan dan rangkaian hubungan B2B ini dimulakan untuk merangsang industri kecil dan sederhana (IKS) di negara masing-masing khususnya Malaysia kerana sektor itu merupakan tulang belakang ekonomi negara.

"Ini baru satu permulaan. Tahun depan, kita menjangkakan sekurang-kurangnya 100 MoU bernilai RM4 bilion dapat ditandatangani menerusi penyertaan lebih banyak negara," katanya dalam kenyataan.

SICCE 3

Shanmughanathan (empat kanan) pada majlis sesi perbincangan padanan B2B anjuran SICCE baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu, sesi tersebut dihadiri kira-kira 100 usahawan dari India dan Sri Lanka meliputi bidang pendidikan, hospitaliti, makanan dan minuman, industri suplemen kesihatan, perkhidmatan teknologi maklumat, minyak dan gas serta pembangunan hartanah.

Shanmughanathan menggesa lebih ramai usahawan IKS mengambil bahagian dalam inisiatif sedemikian agar ia dapat membantu mereka membina rangkaian selain meluaskan perniagaan ke tahap lebih besar.

“Meneroka keluar daripada pasaran semasa akan membolehkan dan menyediakan ruang untuk perniagaan tempatan

berkembang selain menetapkan penanda aras baharu dalam pencapaian mereka,” katanya.

Kata Shanmughanathan lagi, adalah menjadi tanggungjawab SICCE untuk mencipta dan membawa masuk peluang sebegitu kepada pemain industri tempatan di negara ini.

Program Business Connect SICCE merupakan program jemputan eksklusif dengan setiap peserta ditapis oleh jawatankuasa berkaitan.

Selain sesi padanan perniagaan, acara itu juga mewujudkan perniagaan berimpak tinggi dan jalinan rangkaian bersama komuniti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram