Selangor isytihar 18 November cuti umum — MB Selangor


  • Primer
  • Rabu, 09 Nov 2022

Amirudin mengisytiharkan 18 November sebagai cuti umum negeri Selangor.

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengisytiharkan 18 November sebagai cuti umum negeri Selangor bagi memberi laluan kepada hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada keesokan harinya.

Beliau berkata, pemberian cuti khas itu berikutan terdapat sejumlah besar pengundi yang bekerja dan bermastautin di Selangor tetapi mengundi di kampung halaman mereka di negeri lain.

Menurutnya, cuti umum itu bagi memudahkan pengundi yang bukan rakyat negeri ini untuk pulang mengundi di kampung halaman masing-masing.

"Oleh yang demikian, kerajaan negeri memutuskan secara amnya untuk memberikan cuti umum sehari sebelum PRU15 iaitu pada Jumaat, 18 November," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

1802610

Pada masa sama, Amirudin turut menggesa Perdana Menteri caretaker, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengisytiharkan 18 November sebagai cuti umum kebangsaan bagi memudahkan rakyat Malaysia mengundi pada PRU15, 19 November ini.

"Berikutan pendaftaran secara automatik serta penurunan had umur pengundi, Selangor mempunyai bilangan pengundi paling ramai di seluruh Malaysia iaitu sebanyak 3,677,848 orang," katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, Jawatankuasa Kesihatan Awam Selangor (SELPHAC) akan memulakan usaha Selangor Vaccine Influenza–Pneumococcal dengan 10,000 dos vaksin secara percuma.

Katanya, dos itu akan diberikan kepada golongan yang dikenal pasti berisiko tinggi terutamanya warga emas dengan peruntukan RM1.5 juta bermula 14 November hingga 31 Disember depan.

“Ia memfokuskan kepada pusat jagaan orang tua, warga emas dan pemegang kad Iltizam Selangor Sihat (ISS),” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram