USAHAWAN selebriti, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida didakwa di Mahkamah Sesyen di Sepang, Selangor pada Selasa atas pertuduhan memuat naik kandungan video bersifat sumbang di akaun YouTube DSV Entertainment pada April lalu.
Vida mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Mahkamah Sesyen 1, Ahmad Fuad Othman.
Ahli perniagaan kosmetik itu tiba di mahkamah kira-kira pukul 9.50 pagi untuk menghadapi pertuduhan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Fazril Sani Mohamed Fadzil, manakala Vida diwakili peguam, Datuk Adnan Seman.
Fazril Sani memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 namun Adnan meminta supaya jumlah tersebut dikurangkan kepada RM2,000 memandangkan ini kali pertama anak guamnya melakukan kesalahan.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim Ahmad Fuad membenarkan Vida diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Disember depan untuk serahan dokumen.
Sebelum ini, konsep video muzik berjudul Muah Muah Raya yang diketengahkan usahawan itu mendapat kecaman warganet selepas dilihat seperti menghormati Aidilfitri apabila didakwa menampilkan unsur ‘drag queen’. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram