PKR mempertaruhkan enam tokoh dari pelbagai latar belakang serta seorang mahasiswa, sebagai calon muka baharu mewakili parti itu di enam negeri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata, mereka adalah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Zainal Azman Abu Seman; bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa), Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan serta anak kepada bekas Mursyidul Am PAS, Nik Omar Nik Abdul Aziz.
Turut tersenarai adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Parasitologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Saipolyazan Yusop dan bekas presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha.
"Kami juga menampilkan seorang calon muda dalam kalangan mahasiswa iaitu Fathin Amelina Fazlie, yang berusia 28 tahun untuk diketengahkan dalam PRU15,” katanya dalam sidang media calon berprofil tinggi di Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.
Tanpa menamakan kerusi yang akan ditandingi kesemua calon berkenaan, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, Zainal Azman dan Nik Omar akan dipertaruhkan bertanding di Perak, Hassan Basri (Pahang), Dr Noraishah (Wilayah Persekutuan), Saipolyazan (Selangor), Jufitri (Negeri Sembilan) dan Fathin Amelina di Perlis.
"Kesemua kerusi calon ini, akan diumumkan pada Majlis Pengumuman Calon PKR pada 28 Oktober (Jumaat ini),” kata Anwar.
Nik Omar sebelum ini pernah bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Kelantan pada PRU14 atas tiket PKR, namun tewas.
Sementara itu, Rafizi berkata, pemilihan tokoh dan muka baharu itu adalah bagi aspirasi pengundi yang mahukan calon baharu, dan mempunyai kelebihan dalam bidang tertentu dan bukan hanya ahli politik semata-mata.
Beliau berkata, menjadi keutaman PKR adalah untuk ‘push limit’ dengan mempertaruhkan calon daripada pelbagai latar belakang yang tidak mampu dilakukan oleh parti lain.
"Saya tidak rasa ia suatu pertaruhan (memperkenalkan muka baharu)... kerana kami mengambil kira aspirasi rakyat yang mahukan semakin kurang ahli politik sebagai calon.
"Tiada parti yang buka pencalonan kepada awam (sebagai calon), tetapi kami lakukannya. Parti itu mahu masukkan lebih ramai calon berkredibiliti dan calon baharu,” katanya.
Sidang media itu turut dihadiri enam daripada tujuh calon muka baharu dan tokoh yang diumumkan pada Rabu. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram