SEORANG pemandu lori yang membawa muatan kelapa sawit maut selepas kenderaan yang dipandunya gagal dikawal ketika menuruni bukit di KM 56 Jalan Gua Musang-Lojing, Kota Bharu, Kelantan pada malam Ahad.
Mangsa dikenali sebagai Badrul Hisham Kamaruddin, 24, berasal dari Machang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian berlaku kira-kira 9.15 malam ketika mangsa memandu lori yang membawa muatan buah sawit.
"Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu dipercayai hilang kawalan semasa menuruni bukit.
"Mangsa yang dikatakan cuba menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari kenderaan terbabit dipercayai terhentak kepala pada permukaan jalan dan mengalami kecederaan parah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Choon Foo berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.
"Lori tersebut terus terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri jalan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram