MAHKAMAH Sesyen dan Majistret Johor Bahru menahan reman seorang remaja perempuan berusia 18 tahun selama enam hari mulai Khamis, bagi membantu siasatan atas tindakannya membaling pisau kepada adik lelakinya hingga maut pada Rabu.
Perintah reman itu dibenarkan Majistret, Nurmadiana Mamat setelah meluluskan permohonan yang dikemukakan oleh pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, bagi siasatan lanjut terhadap kes berkenaan.
Rabu lalu, remaja berusia 18 tahun itu dikatakan bertindak membaling pisau kepada adik lelakinya yang berusia 16 tahun apabila diejek setelah tiba rumah kerana berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.
Peristiwa berdarah itu berlaku di rumah mereka di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh, Gelang Patah, Johor.
Adik lelakinya itu kemudiannya disahkan meninggal dunia pada pukul 2.30 petang dan bedah siasat akan dilakukan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Khamis.
Sebelum itu, remaja berkenaan tiba di perkarangan Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru, sekitar 9.30 pagi sebelum terus dibawa ke bilik reman.
Bagaimanapun, remaja yang masih bersekolah dalam tingkatan enam di sebuah sekolah di Gelang patah itu kelihatan keliru setelah perintah reman berkenaan dikeluarkan terhadapnya.
Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram