Spekulasi kes culik warga Palestin ganggu siasatan — Polis KL


  • 112
  • Rabu, 19 Okt 2022

Azmi berkata, laporan media yang mengaitkan penculikan itu dengan agensi perisikan Israel, Mossad mengganggu siasatan pihak berkuasa. — Bernama

PENGLIBATAN sebuah agensi perisikan asing dalam insiden penculikan seorang lelaki Palestin di Kuala Lumpur belum dapat dipastikan lagi, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.

Beliau tidak dapat mengesahkan perkara tersebut kerana siasatan masih dijalankan.

"Spekulasi mengenai kes itu boleh menjejaskan siasatan kami. Saya tidak tahu dari mana (akhbar) mendapat maklumat bahawa Mossad terlibat," katanya selepas melancarkan program Rapid KL Safety Point di ibu negara pada Rabu.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang mendakwa agensi perisikan Israel menjadi dalang di sebalik penculikan seorang lelaki Palestin di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur bulan lepas.

Menjawab soalan mengenai editor kumpulan akhbar harian yang dipanggil polis berhubung artikel itu, Azmi berkata, ia dibuat bagi membantu siasatan.

“Kami berharap siasatan kami tidak terjejas oleh sesiapa.

“Ia melibatkan pelbagai perkara sensitif, jadi aspek siasatan tidak boleh didedahkan.

“Kami akan menyiasatnya secara menyeluruh dan mengambil kira setiap aspek,” ujarnya.

Pada Selasa, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kes itu kerana ia boleh menjejaskan siasatan dan mengelirukan orang ramai.

"Seramai 11 individu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 14 Oktober lepas berhubung kes penculikan seorang lelaki Palestin.

"Motif di sebalik penculikan adalah untuk mendapatkan maklumat mengenai perisian untuk penggodaman telefon," katanya.

Sebuah akhbar harian melaporkan bahawa ejen Mossad merekrut warga tempatan untuk membantu memburu ahli Hamas di Malaysia.

Laporan itu mendakwa rakyat Malaysia terbabit mengesan dan menculik dua lelaki Palestin dipercayai milik Briged Al-Qassam Hamas di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Akhbar itu juga mendakwa seorang wanita tempatan berusia 30-an mengetuai rangkaian Mossad di Malaysia. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram